MELAKA: Seorang guru silat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap salah seorang mangsa sama di atas katil rumahnya, Oktober lalu.
Tertuduh, Yusof Omar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dengan melakukan perbuatan tidak senonoh bagi tujuan seksual kira-kira pukul 8 pagi di atas katil di sebuah rumah di Taman Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah, 8 Oktober lalu.
Tertuduh juga telah melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi remaja perempuan berusia 15 tahun kira-kira pukul 2 petang di lokasi sama pada 13 September lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan atas pertuduhan dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama yang berusia 15 tahun pada waktu, tempat dan tarikh sama.
Bagi perbuatan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan keseluruhan sebanyak RM70,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa, melapor diri sekali setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai guru silat dengan pendapatan tidak menentu, malah tidak mencecah RM1,000 pada bulan lalu, selain menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung serta masalah saraf di kaki kiri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan sebanyak RM24,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pendakwaan serta menetapkan tarikh 15 dan 23 Disember depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN







