NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya bersatu dan menyokong draf resolusi yang bertujuan mengukuhkan pelan damai Presiden Donald Trump untuk Gaza, sambil memberi amaran rakyat Palestin mungkin berdepan ‘akibat serius’ sekiranya persetujuan gagal dicapai.
Jurucakap misi AS ke PBB dalam satu kenyataan berkata, sebarang usaha mencetuskan perpecahan ketika rundingan resolusi masih berjalan “membawa akibat nyata dan boleh dielakkan terhadap rakyat Palestin di Gaza,” sambil mengingatkan gencatan senjata yang dicapai ketika ini masih rapuh.
“Kami menggesa UNSC bersatu dan bergerak ke hadapan demi memastikan keamanan yang amat diperlukan. Ini merupakan detik bersejarah untuk membuka laluan ke arah keamanan berkekalan di Asia Barat,” katanya.
Minggu lalu, AS memulakan rundingan dalaman UNSC berhubung draf resolusi susulan gencatan senjata perang dua tahun antara Israel dan Hamas, yang turut merangkumi sokongan kepada pelan damai Trump.
Draf ketiga yang dilihat AFP menyatakan sokongan terhadap penubuhan Board of Peace, sebuah badan pentadbiran sementara bagi Gaza yang secara teori akan dipengerusikan Trump sehingga akhir 2027.
Resolusi itu turut memberi kuasa kepada negara anggota untuk menubuhkan International Stabilization Force (ISF), pasukan kestabilan antarabangsa sementara yang bakal bekerjasama dengan Israel, Mesir dan pasukan polis Palestin terlatih bagi mengawal kawasan sempadan serta melaksanakan proses nyahketenteraan Gaza.
ISF turut ditugaskan melucutkan senjata kumpulan bersenjata bukan negara, melindungi orang awam dan memastikan laluan bantuan kemanusiaan terjamin.
Berbeza dengan draf terdahulu, versi terbaharu turut menyebut kemungkinan pembentukan negara Palestin pada masa hadapan. Menurut draf itu, sebaik sahaja Pihak Berkuasa Palestin melaksanakan reformasi dan proses pembinaan semula Gaza berjalan, “kondisi akhirnya mungkin memungkinkan satu laluan yang diyakini ke arah penentuan nasib sendiri dan kenegaraan Palestin.”
AS juga akan menubuhkan dialog rasmi antara Israel dan Palestin bagi merangka hala tuju politik menuju kewujudan bersama secara aman.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata beliau optimis resolusi berkenaan akan berjaya diluluskan dalam masa terdekat, sambil menyatakan rundingan mengenai bahasa resolusi “menunjukkan perkembangan positif.”
Namun, menurut diplomat yang dipetik AFP, beberapa persoalan masih timbul termasuk ketiadaan mekanisme pemantauan Majlis Keselamatan, peranan masa depan Pihak Berkuasa Palestin serta perincian mandat ISF.










