Keunikan rumah terbalik, muzium 3D

Keunikan rumah terbalik, muzium 3D

rumah Terbalik Borneo yang terletak di Tamparuli, Sabah ini antara destinasi percutian yang boleh dipertimbangkan jika berkunjung ke Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika mencari destinasi pelancongan yang luar biasa di Sabah namun masih dalam harga mesra poket, boleh pertimbangkan Rumah Terbalik Borneo dan Muzium 3D.

Rumah dengan rekaan terbalik ini merupakan yang pertama di Malaysia sejak dibuka pada tahun 2012 yang terletak di Tamparuli, Sabah.

Menariknya, sehingga kini pengunjung tidak dibenarkan mendedahkan atau merakam gambar di dalamnya, bagi mengekalkan keunikan dan elemen kejutan kepada pelawat lain.

Sebaik sahaja tiba, pandangan mata saya tertumpu pada struktur bangunan yang unik persis sebuah rumah tradisional kampung yang terbalik sepenuhnya.

Pengunjung hanya dibenarkan untuk bergambar di ruangan luar rumah dan di sekitar halaman.

Melihat kereta yang diletakkan di depan rumah tersebut dalam keadaan tergantung membuatkan saya terkesima, seolah-olah rekaan itu mencabar hukum graviti.

Lantas, membuatkan saya bertambah teruja untuk menjelajah ke dalam rumah tersebut.

Melangkah sahaja masuk ke dalam, semua perabot dan barangan rumah seperti katil, televisyen, meja makan dan tandas dipasang terbalik, tiada satu pun yang diletakkan secara normal.

Otak terasa seperti dipermainkan, para pengunjung lain pula masing-masing cuba untuk menyesuaikan pandangan realiti terbalik itu.

Malah, ada juga pelawat yang tidak berani masuk ke rumah berkenaan kerana risau akan merobohkan siling yang dipijak.

Selain itu, ada juga pengunjung yang membuat aksi menarik seperti sedang mengambil barang yang terapung-apung di atas, sekali gus membuatkan kami sempat ketawa.

Gelagat masing-masing yang cuba menyesuaikan diri dengan keadaaan sebuah rumah yang terbalik benar-benar mencuit hati.

Selain rumah terbalik, ada satu lagi tarikan yang tidak kurang hebatnya, iaitu Museum 3D atau dikenali sebagai Muzium 3D.

Muzium ini memberi pendedahan kepada para pengunjung melalui gaya pameran interaktif yang dipersembahkan secara unik.

lukisan di Muzium 3D kelihatan sangat ‘hidup’ di lensa kamera.

Di muzium berkenaan, pengunjung dapat menikmati rekaan imaginasi yang seakan-akan ‘hidup’.

Terdapat dinding-dinding yang dihiasi dengan lukisan tiga dimensi yang menggambarkan pelbagai budaya dan tarikan pelancongan ikonik di Sabah.

Dari keindahan pasar tani, keindahan Gunung Kinabalu, sejarah lama di negeri itu hinggalah ke keunikan tarikan tradisional masyarakat Kadazan.

Menariknya, setiap karya seni di muzium tersebut bukan sekadar untuk dipandang tetapi nampak sangat ‘hidup’ di dalam setiap petikan kamera.

Ya, di sini dibenarkan mengambil gambar untuk dijadikan kenang-kenangan.

Berbekalkan sedikit kreativiti, pengunjung dapat membuat aksi seolah-olah sedang memanjat gunung, berkayak dan menjadi penyu.

Sebelum balik ke penginapan, saya sempat singgah ke kedai cenderamata. Walaupun, terdapat pelbagai barangan tempatan, cenderamata unik dan baju untuk dijadikan sebagai kenangan, saya lebih tertarik melihat beraneka jenis minyak pati hasilan masyarakat tempatan.

Keunikan minyak pati itu berjaya menghasilkan aroma yang segar dan semula jadi.

Bagi saya, bauan ini sukar diterjemahkan kerana tidak pernah saya temui di tempat lain.

Alang-alang ada tawaran harga murah jika membeli dua, saya tidak melepaskan peluang untuk membelinya dalam jumlah yang banyak sebagai buah tangan untuk saudara-mara yang belum berkesempatan ke negeri ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×