PADA Julai lalu, pindaan terhadap Kanun Keseksaan bagi Seksyen 507B hingga 507D telah berkuatkuasa. Pindaan ini mendapat perkenan diraja pada 25 Februari dan diwartakan pada 7 Mac 2025.
Pindaan ini bertujuan untuk menangani secara khusus insiden buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah termasuklah dalam talian.
Sebelum ini berlaku pindaan dalam Kanun Keseksaan yang menjenayahkan kegiatan menghendap. Kini pindaan dilakukan untuk menjenayahkan pula kegiatan buli.
Kedua-dua pindaan ini bertujuan memelihara kesejahteraan dan keselamatan rakyat dengan lebih menyeluruh.
Jika dahulu, buli hanya akan menjadi jenayah yang boleh didakwa sekiranya adanya elemen jenayah lain seperti ancaman jenayah atau mendatangkan kecederaan pada mangsa. Dahulu, kata-kata gangguan yang menyakitkan hati semata-mata bukanlah satu kategori jenayah.
Namun melalui pindaan yang memperkenalkan seksyen 507B Kanun Keseksaan, kesalahan gangguan verbal atau emosi melalui kata-kata mengancam, menghina atau mencela yang bertujuan untuk menyebabkan gangguan emosi atau ketakutan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Pindaan yang sama turut menjadikan insiden menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada mangsa melalui perkataan yang dituturkan satu kesalahan yang boleh dihukum.
Melalui seksyen 507D, kini menjadi kesalahan jenayah apabila seseorang melakukan perbuatan mengugut atau menghina sehingga menimbulkan ketakutan pada mangsa bahawa dirinya akan dicederakan, atau perbuatan yang mendorong mangsa mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Kesalahan ini akan dikenakan hukuman lebih berat jika mangsa cuba atau berjaya bunuh diri. Di bawah seksyen 507D, sekiranya sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum dengan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peruntukan yang baharu ini juga tidak hanya boleh berlaku dalam interaksi secara berhadapan tetapi juga merangkumi buli yang berlaku secara dalam talian.
Sehubungan dengan itu, menjenayahkan buli adalah suatu yang tepat dan diperlukan.
Peruntukan dalam Kanun Keseksaan ini bukan sahaja terpakai di sekolah, universiti atau tempat-tempat pengajian tetapi boleh juga diguna pakai buli di tempat kerja serta buli siber.
Menjenayahkan gangguan atau buli ini bukanlah suatu yang baharu. Malah di Singapura Akta Perlindungan dari Gangguan (POHA) diadakan sejak 2014 lagi.
POHA memperuntukkan mana-mana individu atau entiti tidak boleh menyebabkan gangguan atau perasaan orang lain dengan melakukan ancaman atau menghina secara perkataan, perilaku atau komunikasi dan menerbitkan maklumat identiti mangsa yang menyebabkan mereka terganggu. Sekiranya sabit kesalahan boleh didenda SGD$5,000 (MYR 17,500) atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Inti pati POHA ini dimasukkan ke dalam perundangan Kanun Keseksaan di Malaysia. Malah sekiranya dilihat dalam aspek hukuman di bawah Kanun Keseksaan adalah lebih berat dalam soal pemenjaraan pesalah.
Apapun perundangan untuk menjenayahkan buli adalah suatu yang wajar untuk menunjukkan pihak kerajaan bertindak balas terhadap jenayah buli yang berleluasa terutama di peringkat sekolah.
PERBUATAN BULI DI SEKOLAH JADI KELAZIMAN
Perlu diakui Kementerian Pendidikan (KPM) sebenarnya mempunyai mekanisme untuk menangani kes buli di sekolah. Ini boleh dilihat melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bilangan 12 Tahun 2023.
SPI ini menggariskan berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di institusi pendidikan di bawah pentadbiran KPM.
SPI mendefinisikan buli sebagai perbuatan oleh seseorang atau sekumpulan orang yang menggunakan kekuatan untuk menakutkan, menganggu menghina atau menyakitkan orang lain secara fizikal, mental atau emosi.
Malah jenis salah laku buli juga dibahagikan kepada buli fizikal, lisan, bukan lisan dan juga secara siber.
Seterusnya SPI ini juga menggariskan peranan yang perlu dimainkan oleh pengetua atau guru besar, guru penyiasat serta penubuhan jawatankuasa disiplin dan jawatankuasa permuafakatan.
Pada perkara 4.3 SPI ini merupakan elemen penting dalam pengurusan buli iaitu berkenaan tatacara pengendalian aduan salah laku buli. Ia menggariskan tanggung jawab pengetua atau guru besar selepas menerima aduan buli antaranya menghubungi ibu bapa, membawa ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan dan mengemukakan laporan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Secara teorinya sekiranya SPI ini dilaksanakan dengan berkesan kemungkinan besar jenayah buli di sekolah akan dapat ditangani.
Garis panduan yang dikeluarkan KPM ini hakikatnya bukanlah sekadar perhiasan tetapi ia adalah bagi tujuan pelaksanaan untuk membanteras jenayah buli di peringkat sekolah.
Pembanterasan buli di peringkat sekolah akan lebih bermakna untuk membentuk masyarakat antibuli yang tidak akan melakukan buli apabila mereka dewasa kelak.
Tuntasnya, perbuatan membuli kini bukan sahaja suatu yang tidak bermoral tetapi juga merupakan jenayah.
Besar harapan rakyat supaya garis panduan serta perundangan yang wujud diguna sebaik mungkin untuk menangani jenayah buli. Tanpa keberanian dan iltizam pelbagai pihak, segala garis panduan dan perundangan akan kekal sebagai statut yang tidak bernyawa.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










