LONDON: Bekas penyerang sensasi Liverpool, Robbie Fowler mendakwa strategi pembelian pemain ketika jendela perpindahan musim panas lalu menjadi faktor utama kemerosotan mendadak prestasi The Reds musim ini.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas 0-3 kepada Manchester City di Stadium Etihad sekali gus mencatat kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan terakhir liga.
Musim panas lalu, Liverpool membelanjakan hampir 446 juta pound (RM2.5 bilion) termasuk dua kali memecah rekod perpindahan Britain apabila membawa masuk pemain tengah Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen bernilai 116 juta pound (RM660 juta) dan penyerang Alexander Isak dari Newcastle dengan harga 125 juta pound (RM712 juta).
Namun, pelaburan besar itu gagal diterjemah di atas padang apabila prestasi skuad kendalian Arne Slot merudum berbanding musim sebelumnya.
Fowler yang menjaringkan 183 gol sepanjang kariernya bersama Liverpool, berpendapat kekalahan di Etihad berisiko menyebabkan The Reds tercicir daripada kelompok pencabar kejuaraan.
“Sebelum perlawanan saya ditanya sama ada Liverpool sudah keluar daripada kemerosotan, dan saya katakan jangan terlalu cepat membuat kesimpulan.
“Mereka menang ke atas Aston Villa, tetapi hanya bermain baik selama 45 minit. Bagi saya, mereka sudah keluar daripada persaingan kejuaraan,” katanya dalam program The Good, The Bad & The Football bersama Paul Scholes dan Nicky Butt.
Scholes yang turut hadir dalam program itu mengakui sebelum ini masih percaya Liverpool mampu menjuarai liga, namun mengubah pandangan selepas menyaksikan persembahan longlai mereka menentang City.
Fowler turut menyelar dasar perpindahan kelab berkenaan yang disifatkannya tidak selari dengan falsafah taktikal Slot.
“(Jeremie) Frimpong adalah contoh paling jelas. Dia dibeli bagi menggantikan (Trent) Alexander-Arnold, tetapi sebenarnya lebih sesuai bermain sebagai pemain sayap bertahan, bukannya bek kanan. Begitu juga (Milos) Kerkez, dia mungkin menyerlah di Bournemouth dan Brentford, tetapi tekanan bermain untuk Liverpool jauh berbeza,” katanya.
Frimpong dan Kerkez masing-masing direkrut dengan harga 29.5 juta pound (RM168 juta) dan 40 juta pound (RM228 juta), manakala penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike dibawa masuk dengan nilai 85 juta pound (RM484 juta) serta pertahanan muda Parma, Giovanni Leoni pada harga 30 juta pound (RM171 juta).
Kekalahan terbaharu itu menyaksikan Liverpool kini menghuni tangga kelapan liga, lapan mata di belakang pendahulu Arsenal dan empat mata di belakang City yang berada di tempat kedua. – AGENSI/UTUSAN










