Proses damai Thailand, Kemboja perlu diteruskan - Utusan Malaysia

Proses damai Thailand, Kemboja perlu diteruskan

MOHD. NIZAM JAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal menyokong proses damai antara Thailand dan Kemboja, susulan pengumuman Thailand menghentikan semua perjanjian dengan Kemboja selepas kejadian letupan periuk api di sempadan yang mengakibatkan kecederaan tenteranya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, pendirian Malaysia adalah memastikan pro­ses damai itu tetap berjalan memandangkan kepentingannya terhadap kestabilan serantau.

“Kita mahu memastikan proses ini diteruskan tanpa sebarang gangguan kerana sebarang kelewatan berisiko mengembalikan keadaan se­perti sebelum ini.

“Kita faham ada tempoh masa bagi membolehkan kedua-dua pihak menilai situasi semula.

“Justeru, kita berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) di Thailand dan Kemboja terus komited dalam memastikan perjanjian yang termeterai dapat diteruskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mohd. Nizam berharap keputusan positif dapat dicapai supaya proses damai itu dite­ruskan dan objektifnya dicapai.

Katanya, walaupun isu berkenaan adalah masalah dua hala antara Thailand dan Kamboja, ia juga menjadi tanggungjawab negara anggota ASEAN untuk saling membantu dan memastikan keamanan tercapai.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada pihak berkuasa Thailand berhubung kejadian yang menimpa tentera mereka dengan menegaskan bahawa proses damai itu amat penting dan kritikal.

Mohd. Nizam berkata, pada masa ini, AOT berada 40 kilometer (km) dari lokasi kejadian dan tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut.

Beliau menjelaskan, sekiranya berlaku krisis seperti sebelum ini, kedua-dua AOT akan ditarik semula ke Phnom Penh dan Bangkok.

“Pada masa ini, kebanyakan perancangan di bawah perjanjian damai telahpun mula dilaksanakan, termasuk usaha pembuangan periuk api.

“Jadi sekiranya proses ini digantung buat sementara, AOT akan meneruskan perbinca­ngan dengan Thailand dan Kemboja bagi memastikan semua langkah dapat disambung semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×