Hartalega catat untung bersih RM18 juta pada suku kedua

Hartalega catat untung bersih RM18 juta pada suku kedua

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) mencecah RM18 juta, meningkat dua kali ganda bagi suku kedua berakhir 30 September 2025 berbanding RM9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat kepada RM23 juta, manakala hasil berjumlah RM540 juta telah diperolehi, iaitu kemerosotan berbanding RM652 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan hasil terutamanya disebabkan oleh pengurangan jumlah jualan berkurangan akibat tekanan harga kompetitif yang berterusan di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS). Selain itu, harga jualan purata (ASP) dalam ringgit merosot ekoran pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, persekitaran operasi masih mencabar dengan kapasiti berlebihan dan tekanan harga yang berterusan, lebih-lebih lagi dengan penceburan pesaing serantau yang baru muncul.

“Walaupun menghadapi suasana mencabar, kami mencatatkan keputusan lebih baik disebabkan usaha berterusan kami meningkatkan kecekapan dan tumpuan lebih khusus terhadap pengurusan kos.

“Berbekalkan rekod pencapaian lebih tiga dekad, kami yakin kami akan dapat menangani sebarang gangguan yang dihadapi oleh sektor pada hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun menjana hasil yang lebih rendah, kumpulan itu mencatatkan untung operasi lebih tinggi berjumlah RM14 juta pada suku tahun yang dilaporkan, disokong oleh inisiatif berterusan untuk mengoptimumkan kos dan usaha meningkatkan kecekapan operasi.

Sementara itu, dasar lindung nilai kumpulan yang lebih mantap telah membantu menampung kesan turun naik mata wang, seterusnya mengurangkan kerugian tukaran asing yang timbul daripada pengukuhan ringgit.

Tambahnya, melangkah ke hadapan, Hartalega akan terus mempertingkatkan kecekapan pengeluaran melalui automasi dan inisiatif digitalisasi

“Ini sambil mengekalkan pengurusan kewangan yang berhemat akan meningkatkan keuntungan bagi separuh tahun yang seterusnya.

“Dalam pada itu, kami terus meluaskan komitmen alam sekitar sosial dan tadbir urus (ESG) kami sebagai sebahagian penting strategi untuk memacu pertumbuhan lestari kumpulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×