SUDAN dengan keluasan sekitar 1.9 juta kilometer persegi mempunyai penduduk melebihi 44 juta orang.
Majoriti rakyatnya beragama Islam berfahaman Sunni, manakala bahasa rasminya ialah Arab dan Inggeris. Sudan bersempadan dengan tujuh buah negara serta mempunyai akses ke Laut Merah, selain dilalui Sungai Nil yang menjadikannya kawasan strategik bagi kuasa-kuasa luar.
Kini, Sudan sedang berdepan perang saudara yang meletus sejak April 2023 akibat perebutan kuasa antara Tentera Sudan (SAF) dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang turut dibantu kumpulan militan.
Konflik yang berlarutan ini mengorbankan lebih 150,000 nyawa, manakala kira-kira 12 juta penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing. Krisis ini turut menyaksikan pembunuhan etnik atau genosid besar-besaran di wilayah barat Darfur dan bandar el-Fasher yang ditawan RSF. Kebuluran merebak dan situasi kemanusiaan di Sudan kini antara yang paling buruk di dunia.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 25 juta penduduk memerlukan bantuan segera, namun akses kemanusiaan amat terhad akibat sekatan dan ancaman keselamatan. Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut melahirkan kebimbangan apabila dunia dilihat kurang memberi perhatian terhadap konflik di Sudan berbanding krisis lain.
Walaupun beberapa rundingan damai diusahakan di Arab Saudi dan Bahrain, semuanya menemui kegagalan kerana kedua-dua pihak enggan mematuhi gencatan senjata.
Perang saudara ini berpunca daripada pergolakan politik selepas penggulingan Presiden Omar al-Bashir pada 2019, yang memerintah hampir tiga dekad sejak rampasan kuasa 1989. Selepas kejatuhannya, Sudan diperintah kerajaan gabungan tentera dan awam, namun pentadbiran itu tidak bertahan lama.
Pada Oktober 2021, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, ketua Angkatan Tentera (kini presiden de facto Sudan), melancarkan rampasan kuasa dan menyingkirkan kerajaan sivil. Beliau kemudiannya berbalah dengan Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti), ketua RSF, mengenai hala tuju negara dan peralihan kuasa kepada pemerintahan awam.
Pertikaian mereka semakin memuncak apabila timbul isu penggabungan 100,000 anggota RSF ke dalam pasukan tentera serta penentuan siapa yang layak mengetuai pasukan tersebut.
Syak wasangka antara kedua-dua pihak membawa pertempuran besar pada 15 April 2023. Kehadiran RSF di seluruh Sudan semakin mengancam kedudukan tentera dan menambah ketegangan.
RSF sebenarnya berasal daripada kumpulan militan al-Janjaweed yang ditubuhkan pada 2013 dan terkenal dengan kekejaman terhadap pemberontak di Darfur.
Kini, RSF menguasai hampir seluruh wilayah Darfur, bandar el-Fasher serta sebahagian besar Kordofan.
Mereka didakwa melakukan genosid terhadap penduduk bukan Arab di wilayah itu. Penduduk Darfur percaya RSF berhasrat meletakkan wilayah tersebut di bawah dominasi Arab. Kumpulan ini turut menguasai beberapa lombong emas dan menyeludup hasilnya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Tentera Sudan menuduh UAE menyokong RSF, namun dakwaan itu dinafikan oleh pihak UAE.
Selain itu, RSF juga dilaporkan menerima bekalan senjata daripada Jeneral Khalifa Haftar, tokoh tentera Libya Timur, yang membantu mereka menawan kawasan di sepanjang sempadan Sudan-Libya-Mesir pada awal Jun 2025.
Pada akhir Oktober lalu, RSF berjaya menawan bandar el-Fasher, menandakan kekalahan besar kepada tentera Sudan. Bandar itu dikepung selama 18 bulan; hospital dan bekalan makanan disekat, manakala ratusan mangsa terbunuh.
RSF membina tembok tanah mengelilingi bandar bagi memerangkap penduduk serta memusnahkan kem pelarian Zamzam yang sedang mengalami kebuluran.
Kini, penduduk el-Fasher seolah-olah hidup dalam penjara besar yang penuh dengan kezaliman, penderitaan dan kesengsaraan. Human Rights Watch (HRW) menyatakan kemungkinan RSF melakukan genosid terhadap kaum Massalit dan komuniti bukan Arab lain.
Ribuan orang dibunuh di el-Geneina bagi menghalau mereka keluar secara kekal. Amerika Syarikat (AS) turut mengesahkan RSF dengan bantuan militan melakukan genosid di Sudan.
Kira-kira 250,000 penduduk di el-Fasher, kebanyakannya daripada komuniti bukan Arab, kini terdedah kepada ancaman genosid.
Tentera Sudan ketika ini hanya menguasai kebanyakan kawasan di utara dan timur negara itu. Keadaan perang saudara ini menimbulkan kebimbangan bahawa Sudan mungkin berpecah sekali lagi selepas pemisahan Sudan Selatan pada 2011.
Perlu diingat, Sudan yang menormalisasikan hubungan dengan Israel melalui perantaraan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2020 turut menjadi idaman gerakan Zionis antarabangsa. Negara itu termasuk dalam pelan Israel Raya (The Greater Israel) yang sedang digerakkan oleh Benjamin Netanyahu.
Dari segi sejarah, tokoh pejuang Sudan, Muhammad Ahmad Abdullah al-Mahdi, pernah bangkit menentang penjajahan British dan Zionis yang cuba menawan Sudan sejak 1870-an.
Gerakan al-Mahdi berjaya menewaskan tentera British dan menawan Khartoum pada 1886 sebelum Sudan mencapai kemerdekaan pada 1955.
KRISIS KEMANUSIAAN
Konflik di Sudan bukan sekadar perebutan kuasa antara SAF dan RSF tetapi menjadi krisis kemanusiaan terburuk di dunia, di mana lebih 25 juta penduduk memerlukan bantuan segera.
Selain kekejaman dan genosid, negara itu kini berdepan kekurangan keperluan asas dan sistem kesihatan yang hampir lumpuh, sementara usaha damai terus menemui jalan buntu.
Dunia, khususnya PBB perlu memberi perhatian serius untuk menamatkan krisis ini. Sudan memerlukan solidariti dunia Islam bagi mengembalikan keamanan dan maruah negara umat Islam itu sendiri, serta mengelakkan campur tangan kuasa luar yang berkepentingan.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










