BANGKOK: Konflik antara Thailand dan Kemboja kembali tercetus minggu ini, menyaksikan rundingan damai yang disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump gagal menjamin hubungan baik kedua-dua negara.
Ugutan Trump untuk mengenakan tarif tinggi tidak berjaya mempengaruhi hubungan tegang Thailand dan Kemboja apabila kedua-duanya terus bersengketa dan melakukan provokasi terhadap usaha damai yang sudah dicapai.
Perjanjian ditandatangani di Malaysia yang diselia oleh Trump itu bertujuan memastikan pengakhiran pertikaian secara berkekalan.
Kedua-dua pihak saling memulakan serangan roket dan artileri berat hingga mengorbankan 48 orang dan menyebabkan 300,000 orang meninggalkan rumah mereka, menjadikannya insiden pertempuran terburuk dalam sejarah.
Thailand pada Isnin menggantung pelaksanaan perjanjian damai yang dimeterai dengan Kemboja selepas satu letupan periuk api mencederakan askarnya berhampiran sempadan.
Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul turut mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (NSC) semalam bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak.

ISU PERIUK API
Tentera Thailand mengecam Kemboja kerana didakwa memasang semula periuk api yang menyebabkan beberapa anggota tentera Thailand cedera parah di wilayah Si Sa Ket.
Ia sekali gus melanggar perjanjian damai yang baru sahaja ditandatangani antara kedua-dua negara.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata, pegawai forensik memeriksa lokasi letupan periuk api berhampiran sungai Huai Ta Maria di daerah Kantharalak, Si Sa Ket pada petang
Isnin dan menemui sebuah kawah letupan serta tiga lagi periuk api antipersonel berdekatan.
Katanya, sejak 17 Oktober, tentera Thailand mengawal kawasan tersebut, membersihkan periuk api, memasang pagar kawat berduri pertahanan dan menjalankan rondaan berkala.
Namun pada Ahad, pagar kawat berduri di kawasan itu dimusnahkan. Apabila tentera memeriksa kawasan itu pada pagi Isnin, seorang daripada mereka terpijak periuk api.
Pada petang Isnin, pasukan pemusnah bom Thailand menemui kawah letupan berdiameter 55 sentimeter dan sedalam 18 sentimeter, bersama serpihan periuk api antipersonel jenis PMN-2 di dalam dan sekitar kawah tersebut, serta tiga lagi periuk api jenis sama kira-kira satu meter dari lokasi letupan.
“Bukti menunjukkan penceroboh menyelinap masuk, menanggalkan kawat berduri dan memasang periuk api di wilayah Thailand,” kata Winthai.
Katanya, tindakan itu menunjukkan Kemboja tidak ikhlas dalam mengurangkan ketegangan, mencerminkan sikap bermusuhan yang melanggar deklarasi bersama yang ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober lalu.
Letupan periuk api pada Isnin itu juga mencederakan empat anggota tentera Thailand.
TANGGUH PULANG TAWANAN
Menurut Menteri Pertahanan Thailand, Natthaphon Narkphanit, pihaknya menangguhkan pemulangan 18 tawanan perang Kemboja yang kini berada di bawah jagaan tentera Thailand.
Katanya, deklarasi itu hanya digantung sementara, bukan dibatalkan.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow memaklumkan sudah menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja, Prak Sokhonn bagi menyampaikan bantahan rasmi dan mengecam insiden letupan periuk api di sempadan.
Katanya, Thailand akan melaporkan insiden berkenaan di bawah Konvensyen Ottawa (Perjanjian Larangan Periuk Api Darat) dan memaklumkan perkara itu kepada AS serta Malaysia yang merupakan pemerhati ketika perjanjian tersebut ditandatangani.
Beliau turut menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja, Prak Sokhonn, bagi menyampaikan bantahan rasmi dan mengecam insiden letupan periuk api di sempadan.
“Adalah penting bagi Kemboja untuk memikul tanggungjawab dengan menunjukkan rasa kesal, mengambil bahagian dalam siasatan dan memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.
Kemboja dalam kenyataannya berkata, situasi di sempadan kekal tenang namun, tindak balas Thailand menunjukkan ketegangan kembali memuncak susulan keputusan Bangkok menggantung pelaksanaan perjanjian berkenaan.
Kementerian Pertahanan Kemboja menyatakan pihaknya kesal terhadap insiden letupan periuk api terbaharu itu, namun menegaskan bahan letupan tersebut adalah sisa peninggalan konflik lampau.
“Selepas kejadian itu, kedua-dua pasukan tentera di barisan hadapan sudah berhubung antara satu sama lain dan ketika ini situasi kekal tenang,” menurut kementerian berkenaan.
Kementerian itu turut menegaskan Kemboja komited terhadap perjanjian damai yang ditandatangani di Kuala Lumpur di bawah seliaan Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.










