NEGARA sekali lagi dikejutkan dengan kes menyayat hati apabila dua pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan kerana merogol pelajar perempuan tingkatan 3.
Fenomena ini menunjukkan perlunya langkah pencegahan lebih awal agar anak-anak tidak terjebak dalam keruntuhan moral yang parah.
Jenayah seperti ini mencerminkan rapuhnya nilai akhlak dan hilangnya rasa malu dalam kalangan remaja.
Hakikatnya, pendidikan akhlak dan seksual bermula di rumah. Ibu bapa ialah guru pertama yang perlu mendidik anak mengenal batas, adab serta maruah diri.
Ulama, pendidik dan penulis Islam terkenal Syria, Abdullah Nasih Ulwan menegaskan pendidikan seksual dalam Islam mesti diasaskan dengan adab seperti menjaga aurat, meminta izin dan menundukkan pandangan. Malangnya, nilai ini semakin dilupakan dalam keluarga moden.
Cabaran ibu bapa hari ini lebih besar. Anak-anak hidup dalam dunia digital tanpa sempadan, di mana bahan lucah dan pengaruh sosial berisiko mudah diakses.
Di klinik, semakin ramai pesakit muda dijangkiti HIV akibat hubungan sejenis dan seks bebas, menandakan kesan normalisasi budaya hedonisme yang kian menular.
Pemantauan pula tidak boleh berhenti di rumah. Ibu bapa perlu mengenali rakan-rakan anak, aktiviti mereka dan perubahan sikap yang mencurigakan.
Masyarakat juga perlu kembali memainkan peranan menegur dengan hikmah.
Islam menekankan pendidikan seksual yang beradab memahami akil baligh, menjaga batas pergaulan dan kehormatan diri.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Against Pornography (MAP) turut membantu melalui modul IMPRESS yang menekankan pemantauan dan komunikasi berhemah antara ibu bapa dan anak.
Akhirnya, didikan paling berkesan ialah melalui teladan. Jika ibu bapa menjaga tutur kata dan akhlak, anak-anak akan mencontohinya. Jenayah seksual remaja bukan sekadar isu disiplin tetapi cerminan kegagalan masyarakat membina generasi beriman. -UTUSAN
DR. ASMA’ ABDUL AZIZ
Pakar Perubatan Keluarga
JK Advokasi Pembelaan Wanita dan Kanak-kanak, Wanita IKRAM Melaka










