KUALA LUMPUR: Soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pembangkang telah dijawab oleh Perdana Menteri atau menteri-menteri berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak pernah mengelak daripada menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang dalam Sidang Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang terus mengulangi soalan sama walaupun penjelasan sudah diberikan beberapa kali.
“Soalan yang dibangkitkan semua saya jawab, nak kata saya elak (menjawab soalan), saya tidak elak.
“Tanyalah apa soalan pun saya tetap jawab,” katanya sebelum menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, sebelum sesi MQT bermula, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan ketelusan sesi PMQT di Dewan Rakyat selepas kedua-dua soalan yang dipilih untuk sesi persidangan hari ini hanya daripada Ahli Parlimen kerajaan.
Beliau membangkitkan perkara itu di bawah Peraturan Mesyuarat 24A apabila tidak wajar apabila semua soalan semasa sesi PMQT hanya daripada pihak kerajaan semata-mata.
“Hari ini ada dua soalan, kedua-duanya daripada Ahli Parlimen kerajaan. Sepatutnya ada tiga, tetapi kalau dua pun, sekurang-kurangnya satu diberi kepada pihak pembangkang. Pembangkang masih wujud dalam Dewan ini,” katanya.
Beliau juga mendakwa soalan yang dikemukakan oleh pihak pembangkang tidak dipilih selama beberapa minggu.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau sendiri bertanggungjawab terhadap pemilihan soalan bagi sesi berkenaan.
“Pemilihan soalan adalah tanggungjawab saya. Sehingga tarikh akhir, pihak pembangkang hanya menghantar satu soalan, manakala Ahli Parlimen kerajaan menghantar lapan soalan.
“Sudah tentu saya meneliti semuanya. Malah, beberapa soalan pembangkang sudah pun dijawab pada 29 dan 30 Oktober. Jawatankuasa Pilihan Khas juga telah memanggil Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk hadir esok bersama pegawai kanan berkaitan,” katanya.
Johari berkata, keadilan diukur berdasarkan jumlah soalan yang dikemukakan. – UTUSAN











