KUALA LUMPUR:Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski membuka mulut berhubung ketiadaan penyerang naturalisasi, Romel Morales dalam senarai pemain bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 18 November ini.
Jurulatih dari Australia itu menjelaskan, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) terbabit sedang berdepan masalah kecederaan, sekali gus tidak dapat menyertai kem latihan kali ini.
“Morales mengalami kecederaan dan dia masih dalam proses pemulihan. Kami perlu pastikan setiap pemain benar-benar bersedia sebelum turun beraksi,” katanya.
Cklamovski turut memaklumkan seorang lagi pemain JDT, Afiq Fazail, turut tidak disenaraikan atas faktor keluarga yang memerlukan pemain tengah itu berada bersama buat masa ini.
“Afiq tidak dapat bersama kem kali ini kerana sebab keluarga. Kami memahami situasinya dan menghormati keputusan itu,” jelasnya.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bermula semalam, menjelang aksi penting menentang Nepal.
Selepas pengumuman itu, timbul persoalan dalam kalangan penyokong apabila pemilihan Junior Eldstal dipertikaikan susulan pemain berusia 34 tahun itu jarang beraksi bersama JDT musim ini.
Bagaimanapun, Cklamovski tampil mempertahankan keputusan tersebut, malah menyifatkan Eldstal sebagai antara tambahan berkualiti dalam skuad kali ini.
Katanya, persaingan sihat dalam kem latihan menjadi tunjang penting bagi membentuk skuad terbaik menjelang pertemuan dengan Nepal.
“Dia berlatih dengan sangat keras dan saya tahu ada pelbagai pandangan di luar sana. Tapi bagi saya, dia membawa nilai tersendiri kepada pasukan. Tiada siapa yang dijamin tempat dalam kesebelasan utama semua perlu berjuang.
“Saya mahu lihat semua pemain bersaing untuk merebut tempat. Walaupun saya harap dapat memberi peluang kepada semua, hakikatnya hanya mereka yang benar-benar menunjukkan kesungguhan akan beraksi,” ujarnya. – UTUSAN










