Persimpangan bertingkat Eco Grandeur - Latar dibuka esok

Persimpangan bertingkat Eco Grandeur – Latar dibuka esok

Latar Eco Grandeur
AMIRUDIN Shari dan Alexander Nanta Linggi bersalaman selepas merasmikan Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur, Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Persimpangan bertingkat dan Plaza Tol Eco Grandeur di Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (Latar) akan dibuka kepada pengguna mulai pukul 6 pagi esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persimpangan tersebut akan menjadi antara pintu masuk kepada gerbang ekonomi di Anjung Utara Selangor.

Katanya, laluan sejauh 3.07 kilometer akan menjadi kesinambungan kepada jajaran baharu kepada Ijok dan Kuala Selangor secara khususnya.

“Persimpangan itu menghubungkan Latar dan Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (Dash) diikuti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Ia secara langsung menjadi pintu masuk untuk memakmurkan dan menghidupkan keseluruhan Anjung Utara Selangor.

“Kawasan Anjung Utara menerima pelaburan yang besar pada tahun lalu iaitu RM2 bilion daripada Chery Corporate Malaysia (Chery). Saya percaya ia menjadi pemangkin kepada keseluruhan inisiatif dan usaha memajukan Anjung Utara,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur, hari ini.

Jelasnya, projek berkenaan siap sepenuhnya pada Oktober lalu dengan kos keseluruhan RM200 juta merangkumi pembinaan persimpangan, plaza tol serta kerja pelebaran jalan bagi melancarkan aliran trafik.

“Pembukaan ini bukan sahaja memendekkan masa perjalanan penduduk, tetapi turut memudahkan urusan logistik perniagaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di koridor Puncak Alam,” katanya.

Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Berhad (EcoWorld), Datuk Chang Khim Wah.

Persimpangan itu menyediakan akses terus melalui Exit 2502 ke perbandaran Eco Grandeur seluas 1,400 ekar serta Eco Business Park V (EBP V) yang berkeluasan 840 ekar.

Plaza Tol Eco Grandeur menempatkan 10 lorong, lima di setiap arah dengan sistem pembayaran RFID, Touch ’n Go, Open Payment dan SmartTAG, selain lorong khas tanpa henti serta lorong motosikal di kedua-dua arah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×