Kembalikan disiplin dapat bentuk generasi beradab

Kembalikan disiplin dapat bentuk generasi beradab

GURU mesti diberikan kuasa untuk mendidik dengan tegas dan berprinsip.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA semakin gusar dengan peningkatan kes jenayah melibatkan pelajar bawah umur. Kes buli, rogol, pergaduhan dan pembunuhan yang membabitkan remaja menunjukkan betapa rapuhnya nilai moral generasi hari ini.

Dalam banyak keadaan, punca utamanya datang daripada pendedahan awal telefon pintar, permainan video ganas, rancangan hiburan tidak beretika serta bahan lucah dalam talian. Unsur ini secara halus melemahkan empati dan merosakkan keupayaan berfikir secara waras.

Apabila nilai moral tidak dibina sejak kecil, anak-anak membesar tanpa sempadan, lalu menjadikan tindakan ganas sebagai cara menyelesaikan masalah.

Namun menyalahkan satu pihak tidak akan menyelesaikan apa-apa sebaliknya perlu melihat isu ini secara menyeluruh dengan membetulkan semula tiga komponen utama iaitu sistem pendidikan, peranan ibu bapa dan kawalan terhadap media.

Langkah pertama yang wajar dipertimbangkan ialah mengembalikan semula peperiksaan asas seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ramai beranggapan peperiksaan memberi tekanan kepada murid tetapi hakikatnya ia mendidik mereka untuk berdisiplin dan bertanggungjawab. Apabila murid tahu mereka akan dinilai, mereka akan lebih fokus dan bersungguh. Ibu bapa juga lebih prihatin serta mengambil berat perkembangan akademik anak.

Hari ini ramai pelajar ke sekolah hanya untuk berjumpa kawan. Minat untuk menuntut ilmu hanya timbul apabila hampir dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tanpa sistem penilaian awal, kita kehilangan peluang membina semangat belajar dan disiplin sejak usia muda.

Saya bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Irwan Shah Bangsawan, yang menyatakan sekolah seharusnya menjadi rumah kedua bagi anak-anak. Di sinilah mereka membesar, memahami nilai kehidupan dan belajar menjadi insan berguna.

Namun realitinya, fungsi ini semakin luntur apabila sekolah hanya dilihat sebagai tempat mencari sijil, bukan tempat membentuk akhlak dan jati diri.

Guru mesti diberikan kuasa untuk mendidik dengan tegas dan berprinsip. Masalah utama sekarang ialah sikap ibu bapa yang terlalu melindungi anak walaupun mengetahui mereka bersalah.

Lebih membimbangkan apabila ada ibu bapa berpengaruh yang sanggup mempertahankan kesalahan anak di hadapan guru. Budaya ini perlu dihentikan segera. Guru bukan musuh kepada ibu bapa, sebaliknya rakan yang bersama dalam usaha membentuk peribadi anak bangsa.

Cadangan mewujudkan sekolah satu aliran juga wajar diberi perhatian. Langkah ini bukan bermotifkan perkauman tetapi usaha untuk menyatukan generasi muda di bawah sistem pendidikan yang sama.

Jika sejak kecil mereka belajar dan bergaul bersama, asas perpaduan akan menjadi lebih kukuh. Keharmonian sebenar mesti dibina di sekolah, bukan hanya dilaungkan dalam slogan atau kempen perpaduan.

Dalam masa sama, kerajaan perlu tegas mengawal pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak.

Saya menyokong penuh kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mencadangkan had umur penggunaan media sosial.

Langkah ini penting bagi melindungi kesihatan mental serta keselamatan emosi anak-anak daripada kandungan tidak sesuai.

Kita tidak boleh terus membiarkan guru berjuang sendirian. Ibu bapa mesti menjadi benteng pertama dalam mendidik. Media perlu bertanggungjawab memilih kandungan yang membawa nilai positif. Sementara kerajaan harus menggubal dasar pendidikan yang menyeimbangkan pencapaian akademik dengan pembentukan akhlak.-UTUSAN

KHAIDIR BAHARUDDIN
Ahli Majlis Tertinggi,
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
(GPMS) Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×