MINNEAPOLIS: Sebuah zoo di Minnesota mengumumkan kelahiran seekor monyet ‘tamarin cotton-top’, spesies yang dikategorikan sebagai amat terancam dan berasal dari hutan tropika Colombia.
Lake Superior Zoo dalam satu kenyataan di media sosial berkata, bayi monyet itu, yang belum diberi nama, dilahirkan pada 30 September hasil pasangan Mira dan Dino.
Bayi tersebut kini menyertai tiga ekor adik-beradik lain bernama Echo, Tango dan Foxtrot, menurut zoo berkenaan.
Pakar penjagaan haiwan zoo itu, Anna Schopf berkata, penjaga haiwan kini menjaga jarak bagi memberi ruang kepada bayi tersebut untuk mengeratkan ikatan dengan ibu bapa dan saudaranya.
“Penting bagi bayi dibesarkan oleh ibu bapa dan adik-beradik mereka untuk perkembangan sosial yang sihat. Jadi kami tidak terlalu mencampurinya agar proses itu tidak terganggu,” katanya kepada FOX 21 News.
Bayi tamarin itu bersama keluarganya boleh dilihat oleh pengunjung dari 12 tengah hari hingga 2 petang setiap hari di Pusat Pemuliharaan Primat zoo tersebut.
Namun, masa tontonan masih dihadkan bagi memastikan anak kecil monyet itu mendapat rehat dan masa menyusu yang mencukupi.










