PETALING JAYA: Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dijadualkan bersidang esok tidak akan membincangkan isu rombakan Kabinet, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengesahkan perkara itu pada Program Jelajah Malaysia Digital di Tawau, Sabah, hari ini.
“Rombakan Kabinet tidak dibincangkan. Fokus kami sekarang ialah memuktamadkan soal sama ada akan merayu atau tidak (keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu isu pemulangan 40 peratus hasil Sabah), dan kita akan selesaikan esok,” katanya, hari ini.
Ketika diminta mengulas berhubung tindakan Datuk Ewon Benedick melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Perdana Menteri berkata keputusan dibuat terlalu awal.
Katanya, kerajaan masih sedang meneliti pelbagai aspek berkaitan isu pemulangan 40 peratus hasil Sabah yang kini diperkatakan banyak pihak.
“Beliau ada sampaikan maklumat, tetapi surat rasmi belum diterima. Saya faham mungkin beliau rasa terdesak dengan keadaan dan tekanan yang wujud, tetapi bagi saya ia terlalu awal untuk membuat keputusan sedemikian,” katanya.
Semalam, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan satu taklimat khas Kabinet mungkin diadakan esok bagi membincangkan hal berkaitan rombakan Kabinet.
Spekulasi mengenai rombakan Kabinet dalam masa terdekat muncul berikutan beberapa kekosongan jawatan menteri yang masih belum diisi setakat ini.
Lebih kuat lagi keputusan peletakan jawatan Ewon sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Kekosongan turut berlaku pada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri apabila Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd. Aziz akan menamatkan tempoh dua penggal tetapnya sebagai Ahli Dewan Negara.
Ketika ini, jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang masih kosong dipangku, masing-masing oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani.-UTUSAN










