MELAKA: Barisan Nasional (BN) Melaka bersedia menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti berhubung sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan secara serentak atau berasingan.
Timbalan Pengerusi BN Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakan arahan parti kerana jentera BN negeri kini berada dalam keadaan siap siaga di semua peringkat.
“Saya orang parti. Apa sahaja keputusan pucuk pimpinan, sama ada PRN diadakan serentak dengan PRU atau tidak, kami akan akur dan laksanakan dengan penuh disiplin.
“Yang penting sekarang ialah memastikan jentera di setiap PDM (pusat daerah mengundi) terus digerakkan. Di Melaka, hampir semua jentera telah pun aktif dan bersedia bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas Program Cilik Tenaga Bersama TNB : Tenaga Hari Ini Menjana Hari Esok di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, di sini, hari ini.
Menurut Rais, BN Melaka tidak mahu terperangkap dalam spekulasi politik, sebaliknya mahu fokus kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju Kerajaan Madani di peringkat negeri dan pusat.
“Bagi kami di Melaka, fokus utama tetap kepada rakyat. Soal tarikh atau bentuk pilihan raya itu kita serah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.
“Kami yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di peringkat pusat dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di negeri. Apa juga ketetapan mereka, jentera di bawah akan patuh dan bersatu hati,” ujarnya lagi.-UTUSAN










