KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mengumumkan dua pindaan akta penting berkaitan pembangunan kemahiran bagi memperkukuh ekosistem pembangunan tenaga mahir di negara ini.
Pindaan itu melibatkan Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 (Akta 652) dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 (Akta 640).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, ia penting bagi memastikan tenaga kerja di negara ini bersedia menghadapi cabaran ekonomi berteraskan kemahiran dan teknologi masa depan.
Katanya, pindaan Akta 652 juga bertujuan memperkemas pensijilan kemahiran di Malaysia dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir negara.
“Teras utama pindaan ini termasuk menambah keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan dengan melibatkan kementerian strategik dan badan profesional supaya dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih inklusif.
“Selain itu, ia turut mengiktiraf program latihan kemahiran di luar National Occupational Skills Standard (NOSS) bagi tujuan pembiayaan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
“Ini termasuk menambah baik tempoh pentauliahan penyedia latihan kemahiran daripada tiga kepada enam tahun dengan tatacara penggantungan dan pembatalan yang lebih jelas, telus dan berakauntabiliti,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Steven berkata, pindaan itu juga memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan pembelajaran fleksibel sejajar dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.
“Ia turut mengiktiraf kepakaran tenaga kerja tempatan melalui pewujudan kategori baharu iaitu pakar kemahiran, pakar kemahiran kanan dan perunding kemahiran,” katanya.
Berkenaan pindaan Akta 640 pula, beliau berkata, ia bertujuan meluaskan skop pembiayaan PTPK bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat Malaysia termasuk mereka yang mengikuti program latihan bukan SKMM tetapi mempunyai permintaan tinggi oleh industri.
Katanya, antara teras utama pindaan termasuk perluasan skop Pinjaman Latihan Kemahiran dan bantuan kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Selain itu, pemantapan tadbir urus dilakukan melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan kewangan yang lebih telus manakala pengukuhan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan termasuk had masa tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar turut diperkenalkan,” katanya.
Menurutnya, pindaan kepada kedua-dua akta itu membolehkan penyelarasan perundangan secara lebih seragam dan efisien dapat dilaksanakan.
“Melalui pindaan kepada kedua-dua akta ini, kementerian yakin sistem pembangunan kemahiran negara akan menjadi lebih inklusif, fleksibel dan berimpak tinggi selaras dengan agenda Malaysia Madani yang menekankan kemahiran, kebajikan dan keberhasilan rakyat,” katanya.-UTUSAN










