KUALA TERENGGANU: Terengganu menubuhkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan merangkumi pelbagai jenis mineral sebagai langkah jangka masa panjang membangunkjan rantaian penuh industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pusat itu berfungsi sebagai hab penyelidikan, analisis dan pembangunan teknologi berkaitan mineral strategik.
“Ia akan memperkukuh keupayaan industri ini di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berhubung industri nadir bumi (REE) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Kira-kira 40 peratus daripada deposit REE negara bernilai hampir RM800 bilion dikenal pasti berada di Terengganu, dengan 70 peratus daripadanya terletak di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).
Menurut Mohd. Nurkhuzaini, kerajaan negeri menerusi MBI Modal Sdn. Bhd. (MBIM) yang dilantik sebagai pelaksana eksklusif dan pemegang konsesi projek NR-REE sedang melaksanakan perancangan industri itu secara berfasa, merangkumi jangka sederhana dan panjang.
Bagi tempoh perancangan jangka masa sederhana, katanya, fokus kerajaan negeri adalah melaksanakan kajian awal di kawasan berpotensi mengandungi batuan granit di seluruh Terengganu.
“Kajian ini bertujuan mengenal pasti kawasan alternatif yang sesuai untuk aktiviti eksploitasi NR-REE memandangkan sebahagian besar kawasan yang dikenal pasti sebelum ini terletak dalam HSK,” katanya.
Dari segi status semasa, katanya, MBIM kini menunggu kelulusan lesen memfosik bagi beberapa kawasan yang dikenal pasti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk meneruskan aktiviti sektor huluan.
Beliau berkata, selain itu MBIM sedang memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) bersama Lynas (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menjalinkan kerjasama dalam sektor pertengahan. – UTUSAN










