PARLIMEN: RM370 juta naik taraf sekolah agama

PARLIMEN: RM370 juta naik taraf sekolah agama

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM370 juta peruntukan khas disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bermula 2023 hingga 2025 bagi memastikan prasarana dan kemudahan institusi pendidikan Islam di seluruh negara dipertingkatkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, peruntukan tersebut melibatkan RM100 juta pada 2023, RM120 juta (2024) dan RM150 juta (2025).

“Bermula 2023 hingga 2025, Kementerian Kewangan (MoF) telah menyalurkan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT) berjumlah RM370 juta kepada Jakim.

“Peruntukan khas itu akan diteruskan pada tahun hadapan sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2026,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai jumlah bantuan serta peruntukan yang telah disalurkan kepada sekolah agama rakyat bagi 2025.

Zulkifli berkata, dana itu akan digunakan bagi menambah baik prasarana serta kemudahan lain di Institusi Pendidikan Islam (IPI) termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri di seluruh negara.

“1,250 SAR termasuk 820 buah sekolah agama dan 430 premis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di bawah kerajaan negeri telah menerima peruntukan berjumlah RM87,072,268.00 dan baki sebanyak RM62,927,732 telah diagihkan kepada IPI lain yang terpilih.

“SAR adalah merujuk kepada semua Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN), Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Rendah Agama Swasta dan Sekolah Menengah Agama Swasta yang berdaftar di negeri-negeri.

“Ini bermakna semua sekolah agama yang berdaftar di negeri-negeri adalah termasuk dalam kategori SAR walaupun tidak menggunakan nama SAR,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN