KUALA LUMPUR: Ibu bapa, penjaga sah atau ibu bapa angkat yang membuat simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime atau Simpan SSPN Plus bagi manfaat anak layak menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 setahun.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pelepasan itu diberikan berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun taksiran semasa seperti ditetapkan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Ia bertujuan menggalakkan ibu bapa dan penjaga membuat perancangan kewangan awal untuk pendidikan anak-anak melalui skim penabungan yang selamat dan patuh syariah,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Kesavan Subramaniam (PH–Sungai Siput) yang meminta penjelasan berhubung pihak yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan sekiranya melabur dalam Simpan SSPN serta jumlah pelepasan yang diperuntukkan.-UTUSAN










