KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyentuh beberapa isu penting dalam sesi soal jawab, antaranya cadangan pelaksanaan langkah punitif terhadap Israel serta peruntukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) bagi 2025.
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN–Beluran) meminta penjelasan daripada Menteri Luar mengenai tindakan konkrit yang diambil selepas Malaysia menggesa tindakan punitif dikenakan terhadap Israel dalam Sidang Kemuncak Arab-Islam di Qatar baru-baru ini.
Beliau juga ingin mengetahui sama ada gesaan tersebut turut meliputi hubungan tidak langsung antara entiti Malaysia dan Israel, termasuk melalui rantaian bekalan teknologi, perdagangan pihak ketiga serta kerjasama dalam sektor keselamatan dan siber.
Dalam sesi sama, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN–Pokok Sena) mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung jumlah bantuan dan peruntukan yang telah disalurkan kepada sekolah agama rakyat (SAR) sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) menyoal tahap keterjaminan makanan negara sekiranya berlaku sekatan import, serta strategi kementerian bagi memastikan Malaysia berupaya mencapai kemandirian dalam bekalan makanan.
Turut dijadualkan pada persidangan hari ini ialah pembentangan bacaan pertama bagi Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025.
Mesyuarat Dewan Rakyat kemudiannya diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa membabitkan kementerian-kementerian berkenaan.
Mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-15 ini dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember depan.-UTUSAN










