Taufan Fung-wong diramal badai Filipina malam ini - Utusan Malaysia

Taufan Fung-wong diramal badai Filipina malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina berdepan ancaman besar apabila Super Taufan Fung-wong, ribut gergasi yang berjejari hampir meliputi seluruh negara itu, dijangka melandalewat malam ini selepas mencapai kekuatan maksimum pada Ahad.

Agensi Kajicuaca Filipina (PAGASA) memaklumkan, pulau Catanduanes dijangka menerima hentaman langsung taufan berkenaan. Sejak awal pagi tadi, kawasan itu sudah dilanda hujan lebat dan angin kencang, manakala ombak besar dilaporkan melimpah ke jalan raya di kawasan pesisir.

Menurut PAGASA, Fung-wong bergerak ke arah barat dengan kelajuan angin 185 kilometer sejam berhampiran pusat ribut dan tiupan maksimum mencecah 230 kilometer sejam.

Penduduk tempatan turut menceritakan pengalaman cemas mereka.

“Ombak mula mengganas sekitar 7 pagi. Apabila ia menghentam benteng laut, tanah terasa bergegar,” kata Edson Casarino, 33, dari bandar Virac, Catanduanes.

Bagi menghadapi ancaman taufan itu, penduduk Catanduanes mengikat rumah dan menambat bumbung menggunakan tali besar bagi mengelak diterbangkan angin kuat.

“Ia sudah menjadi tradisi kami, bumbung diikat dan ditambat ke tanah supaya tidak tercabut,” kata pegawai penyelamat wilayah, Roberto Monterola.

Di Sorsogon, selatan Luzon, sebahagian penduduk mengambil keputusan berlindung di gereja selepas ombak besar dan angin kuat melanda kawasan pesisir.

“Saya tinggal berhampiran pantai. Ombak sekarang sangat besar dan angin amat kuat,” kata Maxine Dugan, seorang penduduk tempatan.

Di wilayah Aurora, tempat dijangka berlaku pendaratan Fung-wong lewat malam ini atau awal pagi esok, pasukan penyelamat dilapor mengetuk dari rumah ke rumah menggesa penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Pakar meteorologi kerajaan, Benison Estareja, berkata taufan itu dijangka membawa lebih 200 milimeter hujan, yang boleh mengakibatkan banjir besar dan limpahan sungai utama.

“Tidak mustahil sungai-sungai utama akan melimpah,” katanya.

Pakar iklim pula memberi amaran bahawa perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan taufan semakin kuat dan berbahaya, dengan suhu lautan yang meningkat membolehkan ribut mengumpul tenaga lebih pantas serta menghasilkan hujan yang lebih lebat.

Taufan Fung-wong melanda hanya beberapa hari selepas Taufan Kalmaegi memusnahkan sebahagian besar wilayah Cebu, mengakibatkan banjir besar yang menghanyutkan kereta, rumah setinggan dan kontena kapal.

Menurut pangkalan data bencana EM-DAT, Kalmaegi merupakan taufan paling dahsyat tahun ini, dengan sekurang-kurangnya 204 korban jiwa dan 109 masih hilang, berdasarkan angka rasmi kerajaan.

Ribut yang sama turut meragut lima lagi nyawa di Vietnam pada Jumaat lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN