KUALA LUMPUR: Ratu boling padang negara, Emma Firyana Saroji membuktikan statusnya sebagai jaguh dunia apabila menutup kempen Piala Dunia 2025 dengan penuh gemilang selepas menewaskan wakil England, Katherine Rednall dalam aksi final perseorangan wanita di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.
Kejayaan bermakna itu menobatkan Emma sebagai juara dunia baharu, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia dalam edisi kali ini sekali gus memenuhi sasaran yang digariskan oleh Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz.
Aksi final menyaksikan pertarungan sengit sejak awal, namun pengalaman dan ketenangan Emma menjadi kunci kemenangan ketika detik genting.
Pemain berusia 37 tahun itu mengakui, rahsia kejayaannya terletak pada kemampuan mengawal emosi dan mengekalkan fokus sepenuhnya hingga ke balingan terakhir.
“Saya hanya fikir untuk tenangkan diri sebelum balingan terakhir. Saya dah rancang untuk tamatkan perlawanan dengan tiga balingan sahaja dan saya beritahu jurulatih perkara sama. Alhamdulillah, semuanya menjadi seperti dirancang.
Kejayaan kali ini cukup manis buat Emma yang pernah digugurkan daripada skuad kebangsaan selama dua tahun akibat prestasi tidak menentu dan kecederaan sebelum bangkit semula pada tahun ini.
“Kalau ikutkan, ini kali ketiga saya mewakili negara tahun ini selepas dua tahun disingkirkan. Saya perlukan kemenangan ini untuk diri saya sendiri, dan akhirnya impian itu jadi kenyataan,” ujarnya.
Menurutnya, keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) menyingkirkan beliau sebelum ini membuka ruang kepada generasi muda, namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.
Emma yang pernah menjadi antara tonggak utama skuad boling padang negara menegaskan, kemenangan di Bukit Kiara ini menjadi titik kebangkitan dan simbol keazaman baharu dalam kariernya.
“Saya akan terus kekal fokus dan konsisten menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026. Perjalanan masih panjang, tapi kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus melangkah jauh,” tambahnya.
Kejayaan bersejarah itu turut meletakkan nama Emma sebaris legenda boling padang dunia apabila berjaya menebus kekalahan kepada Rednall di peringkat kumpulan sebelum membalas dendam dengan penuh bergaya di pentas final. – UTUSAN










