PELAKSANAAN perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu menjadi titik tolak buat suri rumah dari Kangar, Perlis ini untuk mengusahakan kebun mini di tepi kediamannya.
Di peringkat permulaan, Norazwana Ahmad, 40, hanya menanam sayur-sayuran secara kecil-kecilan dengan kaedah hidroponik bagi mengisi masa terluangnya.
Pada 2022, dia mengembangkan hobinya itu dengan memanfaatkan ruangan kosong di tepi rumah bagi mengusahakan kebun mini hidroponik menerusi inisiatif Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH) di bawah Jabatan Pertanian.
Menerusi sokongan itu, dia mendapat bantuan mendirikan sebuah rumah perlindungan hujan (RPH) bagi menempatkan tanaman hidroponik agar lebih sistematik dan teratur.
Bukan itu sahaja, Norazwana turut meraih Geran Agroprenuer Muda tahun lalu.
Tanpa berfikir panjang, dia menambah empat buah lagi RPH dengan keluasan keseluruhan 50×25 kaki persegi.

Akhirnya, ibu kepada dua anak ini dapat merealisasikan impiannya untuk mengusahakan tanaman hidroponik berkonsepkan taman terbuka di tepi rumahnya.
Istimewanya, pelbagai jenis sayur-sayuran ditanam antaranya ialah pak choy, salad iceberg, salad romaine, bayam merah, bayam hijau, sawi serta kangkung.
“Daripada sekadar suka-suka, lama-kelamaan tanaman yang diusahakan ini mengeluarkan hasil yang begitu memberangsangkan.
“Sedikit sebanyak ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengembangkan lagi hobi ini sehingga dapat mengusahakan kebun mini dengan konsep taman terbuka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Norazwana berkata, penjagaan sayuran seperti salad secara hidroponik kebiasaannya mengambil masa sekitar 45 hari sebelum dapat dituai.
Tanaman secara hidronik amat mementingkan penggunaan sistem air bagi memastikan keadaan sentiasa lembap.
Katanya, risiko ancaman serangga, ulat dan siput babi sentiasa ada, tetapi keadaan itu sentiasa dipantau.
“Saya masih ingat situasi pam air rosak tanpa disedari yang menyebabkan semua tanaman kering,” katanya.
Selepas kejadian itu, dia memanfaatkan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) bagi memudahkan proses pemantauan dan kawalan automatik.
Kata anak kelahiran Kuala Perlis ini, proses menanam dikendalikannya sendiri manakala suaminya, Qamarul Mat Khir, 40, pula membantu dari segi kerja-kerja cucian.
“Saya akan semai sendiri benih sehinggalah ke proses tuaian manakala suami pula bantu untuk kerja-kerja cucian dengan water jet.
“Alhamdulillah, suami sentiasa menyokong hobi saya dan dialah tulang belakang yang membantu merealisasikan impian untuk mengusahakan tanaman sayuran hidroponik ini,” katanya.

MENARA SALAD JIMAT RUANG
Sejak awal tahun, Norazwana memilih kaedah penanaman salad secara menara.
Kaedah berkenaan dapat menjimatkan ruang dengan tempoh tuaian lebih singkat sekitar 40 hari berbanding kebiasaan.
Bekas penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, tower salad bernilai RM10,000 itu merupakan bantuan daripada Jabatan Pertanian sebagai percubaan bagi mengusahakan tanaman menggunakan kaedah tersebut.
“Sejak mengusahakan menara salad ini, saya dapati tanaman lebih singkat dan paling utama, ia dapat menjimatkan ruang bersama penambahan hasil.
“Tinggi menara ini adalah 1.68 meter manakala lebarnya pula adalah sekitar 0.76 meter,” katanya.
Kini, dia memiliki empat menara dengan setiap satunya boleh menempatkan sebanyak 80 pot tanaman salad.
“Bagi tanaman hidroponik di atas meja, ia boleh menempatkan sehingga 220 pot pada satu-satu masa.
“Namun, bagi saiz satu meja ini, ia boleh menempatkan sehingga enam menara di mana penggunaan ruang itu lebih kecil, namun hasilnya lebih banyak berbanding kebiasaan,” katanya.
Bagaimanapun, kaedah tanaman itu dilihat hanya sesuai untuk salad sahaja berbanding sayuran lain.
Norazwana turut menerima pensijilan myGAP-Pesticide Free baru-baru ini di samping tidak mengamalkan sebarang penggunaan racun dalam tanaman.
Dia menghasilkan sendiri formulasi cecair bagi menghalang serangan serangga atau makhluk perosak dengan campuran bahan seperti bawang putih, cili, minyak dan sabun.
“Campuran organik ini dapat menghalang serangan ulat, biar pun tidak secara keseluruhan namun sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesan kepada tanaman,” katanya.

RAIH RM2,000 SEBULAN
Sejak mengusahakan tanaman itu, Norazwana tidak lagi perlu membeli sayur-sayuran di pasar.
Sekali gus dapat menjimatkan wang pada setiap bulan.
Malah, hasil tanamannya turut dijual pada harga sangat berpatutan iaitu RM3 sepaket dan mendapat sambutan begitu menggalakkan.
“Saya hanya jual secara kecil-kecilan menerusi aplikasi Whatsapp dan laman sosial di samping turut membekalkan buat sekolah serta agensi kerajaan.
“Hasil pendapatan daripada jualan itu secara purata adalah antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan sedikit sebanyak menjadi rezeki tambahan buat saya,” katanya.
Ketika ini, Norazwana belum merancang meluaskan pasaran ke kedai-kedai berikutan bimbang tidak dapat bagi memenuhi permintaan semasa.
Selain tempahan dalam talian, ada juga pelanggan yang berkunjung terus ke rumahnya bagi memetik sendiri sayuran yang diingini.
“Saya juga mengeluarkan produk mangkuk salad di bawah jenama AZ Agrofarm bagi membolehkan orang ramai merasai makanan segar dan berkualiti.
“Dalam masa sama, golongan pelajar universiti juga kerap datang ke kebun untuk mendapatkan data dan melakukan kajian bagi pengajian mereka,” katanya.
Untuk perancangan masa depan, dia bercadang menanam tomato ceri dan terung secara hidroponik bagi mempelbagaikan lagi sayur-sayuran di kebun mini itu.
“Saya tidak sangka yang hobi berkebun boleh menjana pendapatan tambahan buat saya.
“Setiap tahun, saya memang meletakkan sasaran untuk mengembang dan mempelbagaikan lagi tanaman di kebun ini,” katanya.










