KEBELAKANGAN ini, kes jenayah di sekolah semakin membimbangkan. Tragedi di Alor Gajah, Melaka melibatkan pelajar perempuan dirogol secara bergilir oleh pelajar senior serta kes tikam di Bandar Utama, Petaling Jaya, nyata menggugat keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan terhadap institusi pendidikan.
Kejadian seperti ini menimbulkan trauma dan ketakutan dalam kalangan pelajar serta keresahan ibu bapa. Maka, Kementerian Pendidikan (KPM) bersama pihak sekolah perlu segera melaksanakan langkah drastik bagi memperkukuh keselamatan fizikal dan sosial di sekolah.
Antara langkah utama ialah menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik seperti koridor, tangga dan belakang blok. Walaupun menelan kos, namun ia penting sebagai langkah pencegahan dan bahan bukti sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Selain itu, rondaan berkala perlu dipertingkat dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), khususnya pada waktu masuk dan keluar sekolah.
Pihak sekolah juga disaran menyediakan pelan keselamatan yang jelas serta prosedur pencegahan jenayah yang mudah difahami semua warga sekolah. Langkah ini harus diperkuat melalui peringatan berkala semasa perhimpunan agar pelajar lebih cakna terhadap tanggungjawab menjaga keselamatan diri dan rakan.
Dalam masa sama, peranan ibu bapa tidak boleh diketepikan. Pemantauan terhadap pergaulan anak-anak, penerapan nilai adab dan akhlak serta galakan menyertai aktiviti seperti seni mempertahankan diri mampu membentuk disiplin dan keyakinan diri.
Keselamatan di sekolah tidak boleh diserahkan kepada satu pihak sahaja. Ia memerlukan kolaborasi antara KPM, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat. Semua pihak harus menghentikan sikap saling menyalahkan sebaliknya fokus kepada penyelesaian menyeluruh bagi mewujudkan ekosistem sekolah yang aman, selamat dan berakhlak.-UTUSAN
MUHAMMAD SYAKIR IDRIS
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang (Kampus Raub)










