BELEM, Brazil: Pemimpin dunia yang menghadiri persidangan iklim di Brazil melancarkan satu dana baharu bagi menyelamatkan hutan tropika di seluruh dunia, dengan janji sumbangan awal melebihi AS$5 bilion bagi memberi ganjaran kepada negara yang mengekalkan hutan mereka.
Dana berkenaan, dinamakan Tropical Forests Forever Facility (TFFF), disifatkan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, sebagai langkah “tidak pernah berlaku sebelum ini” walaupun sumbangan kerajaan awal masih jauh daripada jumlah diperlukan untuk menarik pelaburan swasta.
Menurut rancangan Brazil, dana bernilai keseluruhan AS$125 bilion itu akan membayar sebahagian keuntungan kepada negara membangun bagi setiap hektar hutan yang dikekalkan, manakala pelabur swasta juga dijangka menerima pulangan daripada dana yang dilaburkan terutamanya dalam bon pasaran baru muncul.
Wakil Ivory Coast, Abe Assamoi, berkata dana itu tiba pada masa yang tepat bagi membantu negara membangun memulihkan hutan yang hilang dan mencapai matlamat penanaman semula yang ambisius.
Dana TFFF dilancarkan menjelang UN Climate Talks, dengan sasaran mengumpul AS$10 bilion daripada kerajaan dalam tempoh setahun sebelum menaikkannya kepada AS$25 bilion bagi menarik pelaburan swasta bernilai AS$100 bilion.
Brazil berharap dana ini menjadi aliran pendapatan jangka panjang sebagai alternatif kepada pemotongan hutan untuk keuntungan ekonomi.
Brazil dan Indonesia masing-masing menyumbang AS$1 bilion sebagai janji pertama, manakala Perancis, Portugal, Jerman dan Norway turut membuat komitmen. United Kingdom enggan menyertai, manakala Finland berkata sukar mencari sumber tambahan dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Bagaimanapun, beberapa organisasi pemerhati termasuk Greenpeace memberi amaran masih terdapat kelemahan dalam pelan pelaburan dan pengawasan dana. Brazil telah mengenal pasti lebih 70 negara membangun yang layak menerima bayaran tahunan sekiranya mengekalkan hutan mereka, termasuk Brazil, Indonesia dan Republik Demokratik Congo.











