SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan menggunakan khidmat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai tahun depan bagi mengukuhkan lagi operasi kawalan pintu masuk negara.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, inisiatif tersebut diambil selepas perbincangan bersama pihak veteran ATM bagi meneliti pelaksanaan model kerjasama yang telah digunakan oleh agensi perkhidmatan lain sejak empat tahun lalu.
Katanya, penglibatan veteran itu akan dilaksanakan bagi membantu tugasan lapangan dan operasi penguatkuasaan, khususnya di kawasan pintu masuk utama negara.
“Model ini telah terbukti berkesan dalam agensi lain dan kami melihat ia sesuai diterapkan di AKPS sebagai langkah memperkukuh tenaga kerja serta keupayaan taktikal lapangan.
“Kuasa pelaksanaan tugas ini akan dijalankan bersama pegawai-pegawai AKPS dengan tanggungjawab yang akan ditentukan mengikut keperluan operasi semasa,” katanya pada sidang akhbar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Mohd. Shuhaily berkata, hasil mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini turut mengarahkan agar kerjasama tersebut dilaksana secepat mungkin memandangkan ia telah dimaklumkan dalam Belanjawan 2026.
“Pelaksanaan ini berasaskan kontrak dan akan dimulakan pada Januari 2026 sebaik sahaja peruntukan disalurkan.
“Kami juga akan memulakan proses pengambilan 220 ahli itu secara berperingkat sepanjang tahun 2026 bagi memastikan pelaksanaan berjalan teratur,” katanya.
Terdahulu, AKPS melaporkan akan menerima 220 perjawatan baharu dengan keutamaan diberikan kepada veteran ATM.
Kehadiran veteran ini dilihat langkah strategik kerana mereka mempunyai pengalaman luas dari aspek disiplin, pertahanan dan keselamatan negara.
Sementara itu, cubaan empat individu menyeludup dadah jenis bunga ganja bernilai RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom gagal selepas dikesan pegawai AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 3 November lalu.
Kejayaan itu sekali fus membongkar modus operandi sindiket menggunakan keldai dadah bagi menyeludup 68 bungkus bersamaan 86 kilogram dadah.
Mohd. Shuhaily berkata, kesemua suspek terdiri daripada dua pasangan kekasih yang bergerak dari Johor ke Pulau Pinang sebelum mereka mendaftar masuk untuk penerbangan ke Manchester dengan transit di Singapura.
Katanya, kedua-dua pasangan itu telah diarahkan untuk mengambil beg yang ditinggalkan di lapangan terbang dan membawanya ke destinasi tertentu yang dipercayai ke Manchester. – UTUSAN










