Petronas dapat dua kontrak baharu di Suriname

Petronas dapat dua kontrak baharu di Suriname

CHERN Han memeterai PSC bagi pihak PETRONAS dalam satu majlis di Paramaribo, Suriname.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV), menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok 9 dan 10 yang terletak di kawasan luar pesisir cetek Suriname.

Perjanjian itu ditandatangani bersama Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie), Paradise Oil Company N.V. (POC), serta rakan konsortium Chevron Suriname Exploration Limited (Chevron) dan QatarEnergy International E&P LLC (QatarEnergy).

Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Faisal Bakar berkata, syarikat itu komited untuk mengembangkan kehadirannya di Suriname dan berterima kasih kepada Staatsolie serta Kerajaan Republik Suriname atas sokongan berterusan mereka.

“Berdasarkan kejayaan terkini serta aspirasi kami untuk terus berkembang di negara ini, kami sedang bersiap sedia bagi aktiviti penerokaan yang akan datang.

“Pengembangan ke Blok 9 dan 10 mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi luar pesisir Suriname dan komitmen kami untuk mencipta nilai mampan bagi negara dan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan.

PSC berkenaan dianugerahkan sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Pasca Luar Pesisir Cetek Suriname 2 (2024–2025), selepas bidaan berjaya yang dikemukakan oleh konsortium tersebut.

Langkah itu turut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Petronas mengembangkan kehadirannya di Lembangan Suriname-Guyana, yang diiktiraf di peringkat global kerana potensinya dalam sumber hidrokarbon.

Sementara itu, Blok 9 dan 10 meliputi kawasan berkeluasan kira-kira 5,456 kilometer persegi, terletak secara strategik di antara kawasan penemuan air dalam serta medan pengeluaran darat yang terbukti.

Di bawah PSC tersebut, Petronas memegang kepentingan 30 peratus dan bertindak sebagai pengendali Blok 9, manakala Chevron dan QatarEnergy masing-masing memegang 20 peratus, serta POC sebanyak 30 peratus.

Bagi Blok 10, Petronas turut memegang 30 peratus kepentingan, sementara Chevron bertindak sebagai pengendali dengan 30 peratus, QatarEnergy 30 peratus, dan POC 10 peratus.

PSC berkenaan turut merangkumi peruntukan untuk menyokong penyertaan tenaga kerja tempatan dan pelaburan sosial, sekali gus mengukuhkan komitmen Petronas terhadap pembangunan tenaga yang bertanggungjawab selaras dengan matlamat nasional Suriname.

Dengan penambahan Blok 9 dan 10, bersama penandatanganan Blok 66 pada Jun 2025, Petronas kini memiliki kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname, sekali gus memperkukuh kedudukan syarikat dalam landskap penerokaan luar pesisir negara itu serta peranannya sebagai pemain tenaga global.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Paramaribo, Suriname, dengan Petronas diwakili oleh, Pengerusi Negara PSEPBV, Danny Tan Chern Han. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×