Keluh kesah isteri anggota tentera

Keluh kesah isteri anggota tentera

KETIDAKTELUSAN dan sikap sambil lewa pegawai atasan terhadap kebajikan anggota bawahan bukan sahaja menjejaskan moral keluarga tentera tetapi turut memberi kesan kepada kesihatan mental.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 23 April 2024, suami saya mengalami kemalangan motosikal semasa dalam tugas. Beliau mengalami kecederaan agak serius iaitu patah dua bahagian di kaki kiri dan luka di seluruh tangan dan badan.

Dalam tempoh cuti sakit tersebut dia dipanggil bertugas.

Sudahlah perlu bekerja, dalam masa sama cuti sakit yang diperoleh oleh doktor di hospital tentera dipertikaikan pihak atasan.

Pada 27 Disember 2024, saya mendapat tawaran bertukar ke Jeli, Kelantan. Dalam pada sama, saya membuat penangguhan selama dua minggu kerana keadaan kesihatan ayah yang semakin merosot. Pada 4 Januari 2025, ayah saya meninggal dunia. Pada 20 Januari pula saya lapor diri di Jeli.

Bermula pahit getir kehidupan perhubungan jarak jauh (PJJ) bersama suami. Suami masih bertugas di Gemas, Negeri Sembilan dan masih menerima rawatan. Permohonan untuk bertukar keluar dipohon suami pada 25 Februari namun hingga ke hari ini masih tiada jawapan atau maklum balas diterima.

Pada 11 Mei, saya disahkan mengandung anak kedua. Namun, rezeki tidak berpihak kepada kami sekeluarga apabila saya mengalami keguguran pada 6 Jun. Punca utamanya dipercayai kerana berjauhan dengan suami menyebabkan saya terpaksa menguruskan anak seorang diri sepenuhnya.

Selain itu, faktor utama lain ialah keperluan saya berulang-alik sejauh 466 kilometer (km) sehala setiap hujung minggu.

Hal ini telah saya adukan kepada pihak atasan tentera mengenai masalah yang dihadapi, namun jawapan yang diterima amat mengecewakan. Mereka menyatakan bahawa kebajikan hanya tertumpu kepada ibu bapa, sedangkan seorang isteri sepatutnya berada di bawah jagaan dan tanggungjawab suami.

Selama ini kita difahamkan bahawa tentera amat menitikberatkan kebajikan isteri anggota, namun pengalaman yang saya lalui ternyata bercanggah dengan gambaran tersebut. Persoalannya, di manakah kebajikan seorang isteri yang diabaikan oleh organisasi ini?

Selain itu, peranan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) juga menimbulkan tanda tanya apabila penyertaan dalam setiap aktivitinya diwajibkan, namun kebajikan sebenar isteri anggota tidak diberi perhatian sewajarnya.

Saya percaya masalah ini berpunca di peringkat unit kem dan tidak sampai ke pengetahuan pihak tertinggi. Ketidaktelusan pegawai yang memandang remeh masalah anggota bawahan akhirnya menyebabkan saya, sebagai isteri kepada anggota tentera, mengalami gangguan keresahan (anxiety disorder).-UTUSAN

ISTERI TENTERA
Jeli, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×