WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menuduh parti Demokrat sebagai ‘kamikaze’ yang sanggup menghancurkan negara sendiri, ketika penutupan kerajaan persekutuan memasuki hari ke-38 semalam, sekali gus menjadi yang terpanjang dalam sejarah negara itu.
Penutupan kerajaan bermula sejak Kongres gagal meluluskan bajet selepas 30 September, menyebabkan agensi persekutuan lumpuh dan berjuta-juta rakyat terjejas apabila bantuan kebajikan termasuk subsidi makanan tergantung.Lebih 1.4 juta pekerja kerajaan persekutuan, daripada pengawal trafik udara hingga renjer taman, kini dipaksa bercuti tanpa gaji atau bekerja tanpa bayaran.
Beberapa mahkamah pula menggunakan dana kecemasan bagi meneruskan operasi, sambil memberi amaran bahawa sistem kehakiman akan terjejas jika krisis berlanjutan.
“Saya baru pulang dari Jepun. Saya bercakap tentang juruterbang kamikaze dan saya rasa Demokrat ini juga seperti itu, mereka sanggup menjatuhkan negara jika perlu,” kata Trump di Rumah Putih.
Sebelum penutupan rekod itu dicatatkan, pentadbiran Trump memberi amaran lapangan terbang di seluruh negara bakal lumpuh jika krisis berterusan hingga penghujung November, apabila kekurangan kakitangan menyebabkan penerbangan terganggu dan sebahagian ruang udara ditutup.
Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy, memaklumkan kapasiti penerbangan akan dikurangkan sebanyak 10 peratus di 40 kawasan trafik udara utama bermula Jumaat ini.Lebih 60,000 pengawal trafik udara dan pegawai keselamatan TSA kini bekerja tanpa gaji, dan White House memberi amaran kadar ketidakhadiran kerja yang meningkat boleh menyebabkan kekacauan di lapangan terbang, termasuk kelewatan panjang di kaunter daftar masuk.
Kali ini, pertikaian tertumpu kepada isu pembiayaan penjagaan kesihatan, dengan Demokrat menegaskan mereka hanya akan menyokong pelan bajet baharu selepas kerajaan bersetuju melanjutkan subsidi insurans yang membantu jutaan rakyat.
Walaupun kedua-dua pihak kekal berkeras, terdapat usaha kecil daripada kumpulan bipartisan sederhana yang cuba mencari jalan penyelesaian kompromi bagi menurunkan kos insurans.
Namun, Trump menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada tekanan, malah mengancam akan memberhentikan lebih ramai pekerja kerajaan serta menggantung bantuan makanan kepada 42 juta rakyat AS sebagai tekanan terhadap Demokrat.











