Bayangkan jika dron boleh mengembalikan semula isyarat telefon dan capaian internet dengan pantas, cekap serta lestari apabila bencana melanda dan rangkaian komunikasi terputus.
Dalam erti kata lain, dron boleh bertindak sebagai menara mudah alih terbang menggantikan infrastruktur komunikasi yang rosak semasa banjir, gempa bumi atau bencana lain.
Ini membolehkan panggilan telefon, internet dan komunikasi kecemasan berfungsi semula dengan cepat.
Bagi Pengarah Bersama Future Cities Research Institute (FCRI) , Prof. Ir. Rosdiadee Nordin, persoalan ini sedang direalisasikan melalui penyelidikannya.
Salah satu hasil inovasi terbaharunya melibatkan penggunaan stesen pangkalan mudah alih berasaskan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) atau dron yang berfungsi sebagai menara telekomunikasi terbang untuk memulihkan rangkaian komunikasi ketika bencana berlaku.
Ketika banjir besar atau gempa bumi melumpuhkan semua talian telefon, dron ini boleh terbang ke kawasan terjejas untuk menyalurkan semula sambungan kepada pasukan penyelamat dan penduduk yang memerlukan.
Namun, cabaran utama teknologi ini ialah jangka hayat bateri dron yang terhad.
Bagi mengatasinya, Rosdiadee dan pasukannya membangunkan sistem perancangan penerbangan pintar menggunakan Genetic Algorithm iaitu sejenis program komputer yang diilhamkan daripada proses semula jadi evolusi.
Kaedah ini membantu dron merancang corak penerbangan lebih cekap, menjimatkan tenaga dan kekal lebih lama di udara sambil terus menyediakan sambungan internet.
“Stesen pangkalan berasaskan UAV ini bukan lagi sekadar projek eksperimen. Ia kini menjadi pilihan untuk pemulihan komunikasi selepas bencana dan juga bagi kawasan luar bandar yang terputus capaian,” katanya yang juga Profesor di Universiti Sunway.
DARI MAKMAL KE DUNIA NYATA
Hasil penyelidikannya kini memberi impak nyata dan berpotensi besar di masa hadapan.
Dalam jangka pendek, teknologi ini menawarkan kaedah pantas dan boleh diskala untuk membina semula rangkaian komunikasi di zon bencana atau kawasan terpencil.
Dalam jangka panjang, prinsip asas seperti infrastruktur ringan, penggunaan tenaga pintar dan keanjalan sistem bakal menjadi asas kepada rangkaian bukan darat (non-terrestrial networks) yang menyokong pembangunan ekosistem 6G.
Penyelidikan beliau turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Pada tahun 2017, beliau menerbitkan kertas ulasan mengenai rangkaian sensor tanpa wayar cekap tenaga untuk pertanian pintar dalam jurnal Sensors terbitan MDPI yang telah dirujuk lebih 500 kali dan ditonton lebih 44,000 kali.
“Capaian sebegitu tidak berlaku secara kebetulan. Penerbitan akses terbuka memastikan hasil penyelidikan ini sampai kepada komuniti global pada waktu yang tepat,” katanya.
Matlamat utama Rosdiadee membangunkan sistem komunikasi pintar dan cekap tenaga yang mampu mengekalkan perkhidmatan penting dalam keadaan paling mencabar.
Sistem ini menyokong konsep Internet Benda (IoT) di mana peranti harian seperti lampu jalan, sensor trafik dan peralatan pertanian berhubung antara satu sama lain, berkongsi data dan membantu membuat keputusan pintar.
Di bandar, teknologi ini membantu memantau pencemaran udara, trafik dan penggunaan tenaga.
Di ladang, ia meningkatkan hasil tanaman dengan pemantauan automatik, manakala di kawasan bencana, ia menghidupkan semula talian komunikasi yang terputus.
Lebih penting, keterbukaan dalam penerbitan ilmiah adalah kunci kemajuan sesebuah inovasi atau teknologi.
“Akses terbuka bukan hanya tentang perkongsian hasil kajian, tetapi juga data, kod dan kerjasama dengan masyarakat melalui Citizen Science. Itulah cara sebenar membina ilmu yang boleh ditiru, diperbaiki dan dikembangkan,” katanya.
Tambahnya, ilmu tidak boleh terkurung di sebalik bayaran atau sistem lama.
Dunia dan teknologi kini bergerak pantas dan cara berkongsi ilmu juga perlu seiring.
Tambahnya, penyelidikan bukan sekadar membina sistem komunikasi atau bandar pintar tetapi membina jambatan antara teori dan amalan, antara industri dan ahli akademik serta antara sains tradisional dan dunia terbuka masa hadapan.
Apabila ilmu dikongsi secara terbuka, ia menghubungkan idea dan manusia selain membina semula dunia yang lebih baik.-UTUSAN










