KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal komited untuk menjadikan sektor ekopelancongan sebagai antara produk utama dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kementerian melalui bahagian pengurusan dan pembangunan industri sedang mempergiat pelaksanaan promosi melibatkan pelbagai pakej ekopelancongan tempatan di seluruh negara.
Menurutnya, usaha itu penting bagi menonjolkan keunikan produk ekopelancongan Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding negara lain yang turut memberi tumpuan kepada sektor sama sebagai pemacu ekonomi.
“Kementerian menyedari kepentingan memastikan ekopelancongan diangkat sebagai produk utama.
“Antara langkah diambil termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan.
“Sesi ini bukan sahaja melibatkan pemain industri, tetapi turut membabitkan kerajaan negeri yang mempunyai potensi besar untuk diiktiraf sebagai destinasi bertaraf ekopelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mengenai strategi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menarik pelaburan swasta serta penglibatan usahawan tempatan dalam membangunkan destinasi ekopelancongan supaya tidak hanya bergantung kepada dana kerajaan.
Menurutnya, selain langkah promosi, kerajaan turut menyediakan beberapa skim geran melalui jabatan di bawah MOTAC bagi menambah baik aspek kebolehcapaian dan infrastruktur di kawasan tumpuan ekopelancongan. – UTUSAN











