DI balik runtuhan batu, jeritan anak kecil dan debu yang menutup langit Gaza, terselit persoalan besar yang perlu difahami seluruh umat manusia, siapa sebenarnya yang ‘mengawal kawalan jauh’ untuk menghancurkan bumi para nabi itu?
Persoalan ini penting kerana setiap kali dunia dikejutkan dengan berita serangan akan muncul pula pengumuman ‘gencatan senjata sementara,’ kononnya tanda kemanusiaan.
Namun, hanya dalam beberapa hari atau minggu, darah kembali tumpah dan peluru kembali berbunyi. Ia ibarat drama terancang. Satu pihak menekan butang jeda agar dunia tenang seketika, kemudian menekan semula ‘mainkan’ untuk meneruskan episod kehancuran yang dirancang.
Dalam banyak catatan sejarah moden, Gaza bukan sekadar tanah kecil di Timur Tengah. Ia simbol keteguhan umat Islam, pusat ujian bagi kemanusiaan dan saksi kepada kekejaman yang berulang sejak lebih 70 tahun lalu. Namun, ramai tidak sedar perang ini bukan sekadar antara Hamas dan Israel. Ia adalah cerminan kepada pertembungan ideologi, perebutan geopolitik serta permainan kuasa besar dunia yang menjadikan Gaza sebagai ‘papan catur’ ujian pengaruh.
Israel memang bertindak sebagai pelaku langsung di medan peperangan. Namun kuasa yang menggerakkan di baliknya jauh lebih luas.
Amerika Syarikat (AS), sebagai sekutu paling setia terus membekalkan senjata, melindungi Israel di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menghalang sebarang resolusi yang menuntut keadilan untuk rakyat Palestin.
Dalam banyak keadaan, Washington bertindak bukan sekadar rakan strategik tetapi sebagai pelindung utama yang memastikan Israel tidak pernah diadili di mata dunia.
Di sisi lain, kuasa Eropah pula berperanan sebagai penyokong pasif, mengeluarkan kenyataan simpati kepada Gaza, namun terus berdagang dan menjual peralatan perang kepada pihak yang menindas.
Lebih menakutkan, peperangan ini turut digerakkan oleh kuasa yang tidak kelihatan, syarikat senjata, industri media dan lobi politik antarabangsa yang mendapat keuntungan daripada darah manusia.
Semakin lama perang berlangsung, semakin besar keuntungan yang diraih oleh industri ketenteraan global. Maka tidak hairan jika ‘gencatan senjata’ sering menjadi helah, bukan untuk menghentikan peperangan tetapi untuk mengatur semula strategi dan membina naratif baharu agar dunia kembali percaya kezaliman ini mempunyai justifikasi.
Jika ditelusuri, Israel sudah lama mengamalkan dasar kawalan mutlak terhadap Gaza. Mereka menentukan siapa yang boleh keluar dan masuk, berapa banyak bekalan air dan elektrik yang boleh disalurkan, bahkan mengawal ruang udara serta laut Gaza.
Rakyat di sana hidup dalam kepungan besar seperti penjara terbuka dan setiap tindakan, termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan, tertakluk pada kehendak Tel Aviv. Maka apabila ada serangan balas daripada pihak Palestin, ia sering dijadikan alasan untuk ‘membenarkan’ tindakan ketenteraan yang jauh lebih dahsyat.
Ironinya, dunia yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia kini membisu. Negara-negara besar yang lantang bersuara dalam isu lain menjadi tuli apabila pembunuhan di Gaza dibincangkan. Media Barat pula memainkan peranan mencipta naratif yang memihak kepada penjajah, dengan menggunakan istilah seperti ‘pertahanan’ untuk menjustifikasi pembunuhan kanak-kanak dan wanita.
Mereka lupa pembelaan diri tidak mungkin dilakukan dengan memusnahkan rumah, hospital, sekolah dan tempat ibadah. Mereka lupa keamanan tidak boleh dicapai di atas penderitaan manusia lain.
Dunia kini berdepan dilema besar. Ramai yang marah tetapi tidak tahu bagaimana hendak bertindak. Ramai yang simpati tetapi hanya berhenti pada doa dan status media sosial.
Sedangkan kezaliman yang berakar ini hanya boleh dilawan dengan kesedaran, keberanian dan tindakan kolektif.
Kita perlu sedar solidariti bukan sekadar slogan di baju atau poster di jalanan.
Solidariti sejati ialah apabila umat Islam menuntut pemimpin mereka agar tidak tunduk kepada kuasa besar. Ia berlaku apabila rakyat mendesak agar kerajaan memboikot syarikat yang membiayai penjajahan, apabila masyarakat dunia menekan institusi antarabangsa untuk membawa penjenayah perang ke muka pengadilan.
Solidariti bermakna apabila setiap individu berani berkata benar di hadapan kezaliman, walau suaranya kecil kerana setiap suara itu bergabung menjadi gelombang kesedaran yang akhirnya menggoncang tembok ketakutan.
NARATIF KEBENARAN
Dunia kini sedang diuji, bukan dengan siapa yang kuat tetapi siapa berani menegakkan keadilan. Umat Islam diuji sama ada mereka hanya akan terus meratap dan menyalahkan takdir atau bangkit memperjuangkan naratif kebenaran di tengah gelombang propaganda.
Sejarah membuktikan kekuatan umat bukan pada senjata tetapi pada keyakinan dan kesatuan hati. Nabi Musa tidak menang kerana bilangan tenteranya tetapi kerana keyakinan Allah tidak pernah meninggalkan orang yang berjuang di jalan-Nya.
Kita mesti berhenti menjadi penonton. Dunia tidak akan berubah jika manusia terus memandang Gaza hanya sebagai ‘isu luar negara.”
Kini, yang perlu dilakukan oleh umat bukan sekadar menanti mukjizat tetapi menjadi sebahagian daripada perubahan. Setiap perkongsian maklumat yang benar, ketelusan doa, sumbangan kecil dan desakan kepada pemimpin adalah batu kecil yang membina jalan menuju pembebasan. Dunia akan berubah bukan apabila musuh berhenti menindas tetapi apabila umat tidak lagi berdiam diri.
Selagi ada satu jiwa yang berani menyuarakan kebenaran, selagi itu kezaliman tidak akan selesai di singgahsana. Firaun akhirnya tenggelam di Laut Merah bukan kerana kekuatan Musa tetapi kerana ketamakan dan keangkuhannya sendiri.
Begitu juga mereka yang menindas hari ini, kezaliman pasti akan tenggelam oleh kebenaran yang dijanjikan Tuhan.
Gaza mengajar kita erti kemanusiaan. Ia mengingatkan keadilan bukan milik yang berkuasa tetapi hak setiap manusia yang diciptakan dengan harga diri.
Maka, jangan biarkan suara kita padam. Jangan biarkan anak-anak Gaza mati dalam senyap. Jangan biarkan sejarah mencatat ketika kezaliman berlaku di depan mata dan kita hanya menonton tanpa berbuat apa-apa.
Kerana pada akhirnya, lebih berbahaya daripada peluru bukanlah senjata musuh tetapi keheningan manusia yang tahu kebenaran, namun memilih untuk diam tanpa kata.-UTUSAN
PENULIS ialah calon ijazah kedoktoran, kepimpinan wanita.










