KUALA LUMPUR: Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC) mula menawarkan program sub-kepakaran dalam bidang kardiotorasik, kardiologi, anaesthetic dan paediatric mulai tahun hadapan.
Naib Canselornya, Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus berkata, langkah itu kesinambungan kepada kejayaan menaik taraf Kolej IJN kepada universiti kolej sebelum ini sekali gus membuka ruang kepada institusi itu menawarkan sendiri program ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktorani.
“Melangkah ke hadapan, IJNUC sudah mula memperkenalkan program baharu peringkat sarjana muda, diikuti program pascasiswazah dalam bidang fisioterapi, farmasi, psikologi dan kejururawatan.
“IJNUC turut merancang menawarkan program kedoktoran dalam Pembedahan Kardiotorasik, Kardiologi, Pediatrik dan Anestesiologi dan beberapa program lain, mengukuhkan peranan IJNUC sebagai hab utama pendidikan kesihatan bertaraf nasional,” katanya pada Majlis Pelancaran IJNUC di sini, hari ini.
Kolej IJN secara rasmi dinaik taraf kepada status universiti kolej selepas mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekali gus membuka laluan kepada institusi itu menawarkan program akademik yang lebih meluas dalam bidang penjagaan kesihatan.
Naik taraf tersebut mengukuhkan peranan IJNUC sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus menggabungkan latihan akademik dan klinikal di bawah naungan IJN Holdings selaras keperluan tenaga kerja kesihatan negara.
Dr. Durrishah berkata, institusi itu kini menawarkan ijazah sarjana muda, diploma, diploma lanjutan dan program khas dalam kejururawatan serta penjagaan jantung bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat pendidikan tinggi dalam bidang klinikal dan kesihatan lanjutan.
Katanya, graduan yang mendapat tajaan penuh dalam Sarjana Muda dan Diploma Kejururawatan akan berkhidmat dengan IJN.
“Tahun hadapan, kami yakin dapat menambah bilangan calon kejururawatan bagi membantu menangani kekurangan jururawat di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










