KUALA LUMPUR: Malaysia bersama negara-negara ASEAN disaran memperluas pelaburan berdasarkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta penerokaan sumber tenaga baharu termasuk tenaga nuklear.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, usaha ini bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi yang mampan sambil mengekalkan keupayaan daya saing negara.
“Perbincangan dan sesi panel dalam persidangan akan memberi tumpuan terhadap bagaimana Malaysia dan ASEAN boleh memperkukuh pelaburan ESG, mempercepat pembiayaan hijau serta melaksanakan peralihan tenaga dalam pelbagai bentuk.
“Perbualan ini amat penting dalam membentuk bukan sahaja dasar yang kita rangka, tetapi juga pelaburan yang kita gerakkan bagi merealisasikan masa depan yang mampan,” katanya dalam ucapan selepas Persidangan ESG dan Kelestarian 2025 anjuran CGS International Securities (CGS) di sini.
Jelasnya, Malaysia menekankan langkah besar seterusnya dalam transformasi tenaga negara mesti berpandukan trilema tenaga, prinsip yang menuntut keseimbangan antara tiga keutamaan utama iaitu keselamatan tenaga, kebolehcapaian tenaga dan kelestarian tenaga.
“Keselamatan tenaga menekankan keperluan bekalan yang stabil dan mencukupi untuk menjana negara, manakala kebolehcapaian tenaga memastikan kos tenaga adalah adil dan saksama bagi isi rumah serta sektor industri.
“Selain itu, kelestarian tenaga memastikan pertumbuhan ekonomi tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Kelestarian di CGS International Singapore, Kevin Lee berkata, pihaknya meneroka lima bidang penting yang membentuk masa depan.
“Antaranya, tenaga hijau dan peluang dalam tenaga nuklear meneroka keseimbangan antara inovasi, keselamatan dan kelestarian ketika Malaysia mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada peralihan kepada tenaga bersih,” katanya.
Persidangan tersebut turut menyaksikan pelancaran rasmi Laporan Tematik mengenai tenaga nuklear bagi peralihan tenaga Malaysia, yang dibangunkan bersama oleh CGS International Securities Pte. Ltd. (CGS International) dan Panmure Liberum, sebuah bank pelaburan bebas terkemuka yang berpusat di United Kingdom.
Laporan tematik mengenai nuklear meneroka potensi tenaga nuklear dalam peralihan tenaga jangka panjang, keselamatan tenaga dan strategi iklim Malaysia.
Laporan itu membentangkan tiga senario untuk masa depan tenaga negara dan mendapati pengenalan 10 peratus bahagian tenaga nuklear dalam campuran tenaga nasional boleh mengurangkan jumlah pelepasan karbon sektor tenaga berbanding laluan tanpa nuklear. – UTUSAN










