CAB Cakaran bekal ayam halal untuk pasaran Indonesia

CAB Cakaran bekal ayam halal untuk pasaran Indonesia

CHRISTOPHER Chuah Hoon Phong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CAB Cakaran Corporation Berhad, salah satu pengeluar makanan
terbesar di Malaysia melancarkan usaha sama (JV) dengan syarikat konglomerat Indonesia, Salim Group untuk menghasilkan produk ayam halal bagi pasaran negara itu.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, CAB Cakaran berkata, pelaburan fasa 1 sebanyak AS$10 juta (RM45 juta) untuk penubuhan sebuah loji pemprosesan makanan, tidak termasuk kos tanah dan bangunan kilang, yang akan disewa.

Pelan perniagaan lima tahun itu akan merangkumi pelaksanaan perniagaan ternakan ayam
bersepadu sepenuhnya di Indonesia.

Objektif JV ini adalah untuk menggabungkan sumber dan kepakaran kedua-dua belah pihak untuk menghasilkan produk ayam halal untuk pasaran pengguna Indonesia, menjelang suku kedua 2026.

Menerusi JV dengan Salim, CAB mempunyai kedua-dua rakan kongsi tempatan di Indonesia, dan pangkalan pelanggan yang sedia ada untuk produknya.

Pengarah Urusan Kumpulan CAB Cakaran, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, selepas penangguhan yang lama akibat pandemik Covid-19 dan pelbagai halangan, akhirnya syarikat akan memulakan rancangan pengembangan di Indonesia dan memulakan operasinya menjelang suku kedua 2026.

“Kami berterima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh The Salim Group. Peluang dalam pasaran Indonesia adalah amat besar berdasarkan populasi mereka dan rangkaian Salim yang begitu luas.

“Kami berharap dapat memberi nilai tambah kepada rakan kongsi usaha sama kami, Salim Group, dan menjalinkan hubungan yang membuahkan hasil dan produktif,” katanya dalam kenyataan.

CABINDO Poultry Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh CAB Cakaran, telah memeterai Perjanjian Usahasama dengan PT Ternak Ayam Terpadu Indonesia (TAT), unit Salim Group untuk menubuhkan beberapa syarikat usahasama pada 1 November 2017.

Dalam industri makanan, aset-aset Salim Group termasuk Indomaret, rangkaian kedai serbaneka terbesar di Indonesia dengan 22,400 cawangan, Indofood Sukses Makmur, pengeluar mi segera terbesar di dunia dan Bogasari, pengilang tepung terbesar di Indonesia.

Selain industri makanan, Salim Group juga terlibat dalam perniagaan merangkumi pelbagai
industri, termasuk kewangan, peruncitan, telekomunikasi, automotif dan hartanah.

Ia memiliki empat syarikat senaraian awam di Indonesia, Perancis dan Hong Kong.

Salim Group memiliki 15.2 peratus kepentingan ekuiti dalam CAB melalui Plant Wealth Holdings
Ltd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×