PETALING JAYA: Saga Serba Baharu menjadi model pertama Proton yang dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan di pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton dengan sokongan teknikal daripada Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely Holding).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang berkata, pengenalan model baharu itu menandakan detik penting dalam evolusi PROTON sejak menjalinkan kerjasama strategik dengan DRB-HICOM Bhd dan Geely pada 2017.
Ujarnya, Saga Serba Baharu mencerminkan kemuncak usaha dan dedikasi jurutera tempatan yang telah bekerja keras selama beberapa tahun.
“la ialah kemuncak pembangunan selama bertahun-tahun oleh jurutera dan pereka Malaysia, disokong oleh kerjasama global.
“Detik ini menandakan transformasi Proton daripada pengeluar kereta nasional kepada inovator automotif global yang dibangunkan oleh bakat tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Model baharu ini dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 liter bersama Transmisi Variabel Berterusan (CVT) dan dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1.
Saga Serba Baharu turut menawarkan sembilan fungsi keselamatan pintar iaitu Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW).
Selain itu, ia turut dilengkapi Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA).
Sistem ADAS itu berfungsi bersama enam beg udara dan disokong oleh PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF), bagi memastikan tahap kekakuan serta perlindungan terbaik dalam kelasnya.
Selain itu, model ini dilengkapi dwiskrin bersepadu 16 inci yang menggabungkan paparan meter digital dan sistem infotainmen dalam satu reka bentuk, kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Ia turut menampilkan Lampu Utama Projektor LED Penuh, Lampu Siang LED, Bar Lampu Belakang LED Penuh, serta ruang dalaman yang moden dan bergaya.
Tambah Zhang, model berkenaan mencerminkan sejauh mana PROTON telah melangkah ke hadapan, daripada pengeluar kereta nasional kepada jenama global berwawasan.
“Ia merupakan kereta yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia, dan kini bersedia mempamerkan keupayaan kejuruteraan negara ke seluruh dunia,” ujarnya.
Dengan pemilikan sepenuhnya Hak Harta Intelek (IPR), platform Advanced Modular Architecture (AMA) memperkukuh lagi keupayaan kejuruteraan Proton serta membuka peluang kerjasama baharu dalam ekosistem kumpulan Geely.
Ia sekali gus berpotensi meletakkan Malaysia sebagai hab kejuruteraan serantau bagi pembangunan model masa depan.
Menjelang pelancaran rasminya, Proton akan mengadakan kempen promosi nasional melibatkan kolaborasi media, kandungan digital serta acara siaran langsung bagi memperkenalkan kisah di sebalik sedan ikonik Malaysia yang kini dilahirkan semula. – UTUSAN










