WASHINGTON: Rancangan era pentadbiran Biden untuk membunuh hampir 500,000 ekor burung hantu di tiga negeri Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kemarahan dalam kalangan ahli Kongres dan kumpulan alam sekitar yang menyifatkannya sebagai tidak perlu dan tidak berkesan.
Pelan itu melibatkan pemburuan terancang di California, Oregon dan Washington untuk membunuh spesies Barred Owl, yang dianggap sebagai ‘pemburu’ yang kini mengancam kelangsungan hidup spesies tempatan Spotted Owl.
Menurut peraturan baharu itu, pemburu terlatih akan menggunakan rakaman panggilan wilayah Barred Owl bagi menarik burung tersebut sebelum menembaknya. Di kawasan penggunaan senjata api tidak sesuai, Barred Owl yang berasal dari bahagian timur Amerika Utara itu akan ditangkap dan disuntik mati.
Senator Republikan John Kennedy lantang mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai tindakan paling tidak masuk akal yang pasti tidak akan berjaya.
“Jabatan Dalam Negeri mahu membunuh lebih 10 peratus populasi Barred Owl hanya kerana ia lebih mahir memburu berbanding Spotted Owl dan mereka mahu mengubah imbangan semula jadi demi menyebelahi satu spesies,” katanya.
Kennedy turut menegaskan Spotted Owl tidak tersenarai sebagai spesies terancam, sambil memberitahu beliau akan mengemukakan usul untuk menghentikan rancangan tersebut dalam undian Kongres.
Rancangan itu turut mengundang bantahan daripada 75 organisasi alam sekita yang mendakwa langkah berkenaan boleh mengganggu ekosistem serta menyebabkan kesilapan dalam pengecaman spesies.
Untuk menyekat pelan pemusnahan itu, Kongres perlu meluluskan resolusi bersama yang kemudian mesti ditandatangani oleh Presiden Donald Trump bagi menghalang agensi berkenaan daripada melaksanakan peraturan serupa tanpa kelulusan khas.
Dalam ucapan di Senat, Kennedy berdiri di antara gambar Spotted Owl dan Barred Owl, bersama imej watak kartun Looney Tunes, Elmer Fudd.
“Di AS terdapat 19 spesies burung hantu. Spotted Owl dan Barred Owl adalah ciptaan Tuhan,” katanya.











