KLANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakan 15,620 pegawai dan anggotanya sebagai persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Kekuatan itu digerakkan selepas 3,683 kawasan titik panas banjir terutama di tiga negeri di Pantai Timur iaitu 760 lokasi di Pahang, Kelantan (618) dan Terengganu (460) dikenal pasti berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Ketua Pengarah, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata, antara tumpuan pasukannya adalah memantau dan melakukan persediaan menghadapi bencana itu terutama di kawasan penduduk berkepadatan tinggi.
“Tiga negeri pantai timur majoritinya dianggap kawasan tradisi banjir, namun penduduk membuat persiapan awal setiap tahun. Kita juga akan menumpukan kawasan bandar yang dilanda banjir mengejut termasuk akibat fenomena air pasang besar.
“Arahan turut dikeluarkan kepada semua pegawai kanan supaya turun ke lapangan bagi memantau isu yang boleh diatasi dalam kadar segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau logistik operasi banjir, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 983 aset bomba seperti 431 bot penyelamat, kenderaan angkut ringan (417), berat (119) dan 16 kenderaan marin operasi menyelamat.
“Selain itu, sebanyak 150 bot bersaiz kecil disediakan di lokasi berisiko banjir bagi kegunaan penduduk berpindah sementara menunggu bantuan bomba,” ujarnya.
Selain itu, Nor Hisham memberitahu, pihaknya belum mengeluarkan arahan pembekuan cuti kepada anggotanya sepanjang tempoh musim tengkujuh ini. – UTUSAN










