RAKYAT sekali lagi dikejutkan dengan perbuatan tidak bermoral melibatkan pelajar sekolah, termasuk kejadian rogol di dalam kelas yang dirakam dan disebarkan. Perkara ini mencerminkan kebejatan sosial serius yang perlu ditangani segera dan bersama oleh semua pihak.
Masyarakat harus bersama mencari punca dan jalan penyelesaian. Komen jelik dan penghinaan di media sosial hanya menambah keburukan, bukan menyelesaikan masalah.
Kementerian Pendidikan wajar memperkukuh tindakan proaktif serta memastikan pelaksanaannya dapat dilihat masyarakat. Pendekatan menyeluruh perlu melibatkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibu bapa dan sukarelawan yang sedia membantu.
Dalam mencari solusi, pendekatan Islam wajar diutamakan. Nilai dosa dan pahala perlu disemai sejak kecil agar pelajar memahami tanggungjawab moral dan menjaga maruah insan.
Pendidikan awal di rumah amat penting kerana ibu bapa adalah pendidik pertama yang membentuk akhlak anak. Seperti sabda Nabi SAW, “Setiap anak dilahirkan dalam fitrah; ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”
Sekolah pula perlu memperkukuh peranan persatuan ibu bapa seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai rakan sokongan dalam membina suasana pembelajaran kondusif dan membentuk karakter pelajar.
Dalam konteks ini, pendidikan bukan sekadar ta’alim (pemberian ilmu) tetapi juga ta’dib iaitu mendidik adab seperti disarankan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Ilmu tanpa adab tidak membawa makna. Kehilangan adab inilah yang menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial hari ini. Guru dan ibu bapa berperanan besar menanam nilai hormat, empati dan tanggungjawab dalam diri pelajar agar mereka menjadi generasi berakhlak dan beradab.
Remaja hari ini ialah cermin masa hadapan negara. Jika mereka rosak akhlak, rosaklah bangsa. Justeru, membendung isu moral dan sosial harus menjadi agenda bersama demi menjamin masa hadapan negara yang sejahtera dan bermaruah.-UTUSAN
PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR
Ketua Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya & YDP Muafakat MRSM Sungai Besar










