RUUPIN kawal selia pelaksanaan cukai karbon - Fadillah

RUUPIN kawal selia pelaksanaan cukai karbon – Fadillah

RUUPIN
FADILLAH Yusof berucap pada Majlis Pelancaran Management and Science University (MSU) Centre for Climate Resilience and Strategy (m-CREST), di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) bagi mewujudkan kerangka perundangan menyeluruh bertujuan mengawal selia inisiatif berkaitan perubahan iklim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia akan menjadi asas utama dalam pelaksanaan cukai karbon, penubuhan entiti kawal selia bebas serta pewujudan mekanisme pemantauan, pelaporan dan verifikasi (MRV) bagi sektor tenaga dan industri berat.

“Pelaksanaan cukai karbon itu akan dibuat secara berperingkat bagi memberi ruang kepada industri menyesuaikan diri dengan piawaian kelestarian baharu,” katanya pada Majlis Pelancaran MSU Centre for Climate Resilience and Strategy (m-CREST), hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Tenaga Peralihan dan Transformasi Air berkata, RUUPIN akan melengkapkan dasar sedia ada dan membuka ruang kepada pembentukan pasaran karbon negara yang lebih tersusun.

“Melalui RUUPIN, kerajaan mahu memastikan setiap dasar dan tindakan berkaitan perubahan iklim mempunyai asas undang-undang yang kukuh agar pelaksanaannya lebih telus dan berkesan,” jelasnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam usaha memperkukuh agenda itu, kerajaan turut memperkenalkan dua instrumen kewangan baharu iaitu Forest Conservation Certificate (FCC) dan Forest Carbon Offset (FCO) dan dijadual beroperasi pada suku pertama tahun depan.

Katanya, FCC yang dioperasikan oleh Malaysia Forest Fund (MFF) merupakan instrumen pembiayaan hijau bukan pasaran yang menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam aktiviti pemuliharaan hutan dan biodiversiti.

Sementara itu, FCO pula dibangunkan sebagai instrumen perkreditan karbon negara yang memberi nilai pasaran kepada usaha pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×