SEJAK dekad 1990-an, isu Palestin sering dilihat dari lensa geopolitik ditentukan oleh pakatan kuasa besar, diplomasi tertutup dan naratif media arus perdana Barat.
Namun, landskap global kini berubah drastik. Pengiktirafan terhadap Palestin bukan lagi hanya hasil perundingan meja diplomatik tetapi datang daripada tekanan moral serta politik yang lahir daripada rakyat sendiri hasil gelombang kewartawanan partisipatif dan komunikasi akar umbi global.
Fenomena ini bukan kebetulan. Ia manifestasi kuasa baharu rakyat dunia, yang melalui media sosial dan saluran komunikasi alternatif, membentuk tekanan global yang semakin menggugat struktur kuasa tradisional.
Di sinilah terletaknya kepentingan sebagai kewartawanan akar umbi yang menyeberangi sempadan geografi dan ideologi untuk menyatukan naratif kemanusiaan sejagat.
Apa yang menjadikan perubahan ini begitu berkesan ialah peranan media akar umbi melalui kewartawanan warga dan kewartawanan partisipatif.
Di Gaza sendiri, wartawan tempatan seperti Motaz Azaiza, Bisan Owda dan Plestia Alaqad menjadi ikon global yang menggantikan peranan agensi berita antarabangsa. Mereka melaporkan secara langsung, dalam bahasa manusia yang mudah difahami, tanpa suntingan politik.
Naratif mereka tersebar ke seluruh dunia, membentuk kesedaran kolektif yang mustahil dicapai 30 tahun lalu. Setiap imej, video dan suara yang mereka siarkan menjadi bentuk dokumentasi digital terhadap kekejaman perang dan seruan moral untuk bertindak.
Gerakan rakyat digital ini membentuk ekosistem komunikasi partisipatif, di mana wacana tentang Palestin kini dikawal rakyat global, bukan elit politik. Ini adalah bentuk kuasa lunak baharu yang datang daripada simpati, empati dan kesedaran kemanusiaan sejagat.
Cadangan yang dibawa oleh Colombia dan Afrika Selatan untuk mereformasi sistem veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mungkin mendapat momentum tanpa dukungan rakyat global yang mendesak perubahan. Di sinilah kewartawanan partisipatif memainkan peranan penting kerana ia bukan sekadar menyebarkan maklumat tetapi membangunkan legitimasi moral terhadap reformasi institusi antarabangsa.
Dalam dunia pasca pandemik, masyarakat semakin celik maklumat dan skeptikal terhadap propaganda menyebabkan kewartawanan partisipatif menjadi alat pembetulan struktur kuasa. Ia menunjukkan diplomasi bukan lagi urusan eksklusif pemerintah tetapi hasil daripada tekanan kesedaran kolektif yang terbina di ruang digital.
Perjuangan Palestin bukan hanya isu politik tetapi ujian terhadap hati nurani global. Ketika media arus perdana gagal menegakkan keadilan informasi menyebabkan rakyat dunia mengambil alih peranan itu dengan menjadi wartawan, penyampai dan saksi kepada kebenaran.
Kewartawanan partisipatif membuktikan naratif kemanusiaan boleh mengubah pendirian negara, mencabar sistem veto dan mengangkat suara yang selama ini ditindas.
Dari Oslo ke era digital, dunia belajar perdamaian sejati tidak lahir daripada meja rundingan elit tetapi daripada solidariti rakyat yang berani bersuara, yakni bersuara untuk mereka yang tidak lagi punya suara.-UTUSAN
DR. MASTURA MAHAMED
Pensyarah Kanan,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi ,
Universiti Putra Malaysia (UPM) &
Felo Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)










