Dana 1MDB diseleweng untuk Najib kekal berkuasa - Pendakwaan

Dana 1MDB diseleweng untuk Najib kekal berkuasa – Pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hasil penyelewengan dana sebanyak RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah menyebabkan Datuk Seri Najib Razak kekal berkuasa, berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan dalam parti yang diterajuinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, walaupun pelbagai dakwaan yang dilemparkan kepada saksi-saksi pendakwaan yang kononnya telah mendapat keuntungan namun penerima manfaat terbesar daripada penyelewengan tersebut tetap Najib daN manfaat yang diperolehnya adalah kuasa.

“Selain (bekas peguam 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan dan (bekas pegawai khas Najib), Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, apa keuntungan yang diperoleh oleh saksi-saksi pendakwaan yang lain?

“Apa keuntungan yang diperoleh oleh (bekas CEO 1MDB) Mohd. Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh, bekas pegawai bank Joanna Yu dan penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan?

“Saksi-saksi pendakwaan, Shahol, Amhari, Hazem, Azmi, Ismee dan Jasmine Loo adalah orang bawahan tertuduh (Najib). Pemilik kuasa utama (ultimate power) sentiasanya adalah Najib. Adakah saksi-saksi berani untuk melawan Perdana Menteri ketika itu yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang menjadikan individu berkuasa di dalam syarikat dan negara?

“Sebaliknya, bukti-bukti yang dikemukakan menunjukkan tingkah laku tertuduh yang tetap tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho),” katanya.

Terdahulu, Ahmad Akram yang juga Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghujahkan bahawa sehingga kini, Najib tidak pernah menafikan bahawa wang berbilion ringgit masuk ke dalam akaun peribadinya.

Malah, dakwaan bahawa beliau yakin wang yang masuk ke dalam akaun itu adalah derma Arab dengan bergantung kepada empat surat derma tanpa mengemukakan dokumen tulen, saksi untuk menyokong atau mengemukakan pendermanya hanyalah satu cerita dongeng.

“Seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., derma dan surat derma Arab itu adalah sesuatu yang tidak boleh dipercayai, tidak boleh dipertahankan, satu penipuan, satu kisah dongeng melangkaui Hikayat 1001 Malam.

“Naratif pembelaan adalah tidak munasabah, bercanggah dan tidak disokong malah penjelasan yang diberikan tertuduh sewaktu membela diri juga tidak dapat dipertahankan.

“Tertuduh gagal memberikan penjelasan berhubung masa dan aliran wang masuk ke dalam akaunnya seiring dengan transaksi yang berlaku dalam 1MDB, tertuduh gagal menjelaskan komunikasinya dengan Jho Low, gagal memberikan pengesahan tulen berhubung derma Arab.

“Tertuduh juga gagal menunjukkan sebarang usaha wajar (due diligence) yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berhubung kemasukan jumlah wang yang besar jumlahnya ke dalam akaun peribadinya,”ujar Ahmad Akram.

Tambah Ahmad Akram, pembelaan Najib gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan tidak berjaya menangkis anggapan atas imbangan kebarangkalian (presumption on a balance of probabilities) sebaliknya mengukuhkan kes pendakwaan berhubung penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×