PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian konduktor orkestra tradisional, Mohd. Yazid Zakaria yang meninggal dunia tengah hari tadi.
Allahyarham juga merupakan individu yang mengetuai persembahan ketika Majlis Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di ibu negara kelmarin.
Anwar berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat dunia seni tanah air, khususnya dalam bidang muzik tradisional yang selama ini menjadi wadah penting dalam memartabatkan budaya bangsa.
“Sesungguhnya, pemergian ini merupakan kehilangan besar buat dunia seni tempatan tatkala Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa.
“Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara. Dedikasinya akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi buat generasi mendatang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut berkongsi rasa simpati terhadap keluarga Allahyarham malah difahamkan anaknya bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini.
“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. – UTUSAN







