ISU kesihatan mental dalam kalangan pelajar menjadi perhatian serius apabila statistik menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) (2023) mendapati hampir satu daripada empat pelajar sekolah menengah di Malaysia menunjukkan simptom kemurungan, manakala satu daripada lima mengalami kebimbangan serius.
Data ini mencerminkan realiti yang tidak boleh dipandang ringan kerana memberi kesan langsung terhadap prestasi akademik, disiplin serta kesejahteraan sosial pelajar secara keseluruhan.
Kes buli siber, penderaan rakan sebaya, penganiayaan seksual dan kecenderungan bunuh diri semakin kerap dilaporkan di media tempatan.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 600 kes cubaan bunuh diri direkodkan dalam kalangan remaja antara 2022 hingga 2024, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan peningkatan kes buli fizikal dan mental di sekolah, sebahagiannya berpunca daripada tekanan emosi yang tidak ditangani secara berkesan.
Dalam konteks ini, sekolah perlu memainkan peranan yang lebih luas dan bersepadu. Ia tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pusat pembelajaran akademik tetapi perlu berfungsi sebagai ruang terapi dan sokongan emosi kepada pelajar.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2022 menegaskan intervensi awal di sekolah mampu menurunkan risiko gangguan mental jangka panjang dalam kalangan remaja. Apabila suasana sekolah dibina berasaskan kesejahteraan psikologi, pelajar berupaya belajar dengan lebih fokus, menyesuaikan diri dengan tekanan dan membina daya tahan emosi yang kukuh.
Dalam bidang neurosains, getaran lembut dikenali sebagai rangsangan mekanosensori yang menghantar isyarat ke otak, seterusnya mengalihkan fokus daripada keresahan kepada sensasi fizikal yang menenangkan.
Kaedah ini menjadi asas kepada teknik grounding, iaitu pendekatan yang terbukti membantu individu mengawal diri ketika berdepan tekanan emosi akut (Harvard Medical School, 2021).
Selain itu, faktor visual dan auditori turut memainkan peranan penting. Kajian diterbitkan dalam Frontiers in Psychology (2020) mendapati warna lembut seperti biru muda dan hijau pastel mampu mengurangkan aktiviti amygdala, bahagian otak yang mengawal tekanan dan ketakutan.
Persekitaran bilik darjah yang menggunakan pencahayaan semula jadi dan warna menenangkan terbukti membantu meningkatkan keupayaan tumpuan pelajar serta mengurangkan keresahan.
Bunyi semula jadi seperti deruan air, kicauan burung atau muzik instrumental lembut juga membantu merangsang pengeluaran hormon serotonin dan dopamin yang mengawal emosi gembira serta kestabilan mood.
Dalam konteks deria bau, kajian National Institutes of Health (NIH) pada 2022 menunjukkan aroma semula jadi seperti lavender, kamomil dan sitrus berupaya menurunkan tahap kortisol, iaitu hormon yang dikaitkan dengan tekanan.
Penggunaan penyebar aroma minyak pati di bilik kaunseling atau ruang rehat sekolah mampu membantu pelajar yang mengalami kebimbangan, trauma atau kesedihan agar lebih tenang ketika berinteraksi.
Peranan guru dan kaunselor kini lebih penting daripada sekadar mendidik. Kajian Persatuan Psikologi Amerika (APA) pada 2022 mendapati hubungan emosi positif antara guru dan pelajar mampu menurunkan paras tekanan hormon kortisol serta meningkatkan keupayaan tumpuan juga keyakinan diri.
Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga menjadi cerminan kestabilan emosi pelajar. Kaunselor pula boleh menggabungkan pendekatan terapi deria dalam sesi kaunseling.
Penggunaan objek seperti bola tekanan, kusyen pemberat atau latihan pernafasan membantu pelajar melepaskan tekanan secara fizikal dan menenangkan sistem saraf.
Pendekatan ini mudah diaplikasikan tanpa memerlukan kos tinggi, namun memberi kesan signifikan kepada kesejahteraan psikologi pelajar.
Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mempertimbangkan pengintegrasian modul kesedaran deria dan literasi emosi dalam kurikulum Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJPK). Pendidikan menyentuh aspek psikologi tubuh dan emosi secara saintifik mampu membina generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga matang dalam mengurus tekanan dan empati sosial.
REALITI SOSIAL
Dalam era digital, tekanan pelajar bukan lagi sekadar berpunca daripada akademik.
Gangguan siber, perbandingan sosial di media dan tekanan kecantikan atau gaya hidup mencetuskan fenomena kemurungan dan kecelaruan identiti dalam kalangan remaja.
Pelajar mudah terjebak dalam kitaran negatif seperti buli, keganasan seksual, penyalahgunaan dadah dan tingkah laku ekstrem apabila sokongan emosi tidak mencukupi.
Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2023, lebih 40 peratus remaja di Asia Tenggara mengaku pernah berasa ‘tidak bernilai’ atau ‘terlalu penat untuk hidup’ akibat tekanan sosial dan akademik.
Realiti ini menunjukkan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem sekolah yang bukan hanya mendidik akal tetapi juga memulihkan jiwa.
Menariknya, pendekatan saintifik seperti ini diterjemahkan melalui inovasi tempatan yang dinamakan NeoMind, hasil ciptaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.
NeoMind dibangunkan sebagai intervensi awal kesejahteraan mental yang menggabungkan elemen terapi getaran lembut, visualisasi warna dan bunyi menenangkan berdasarkan prinsip neurosains moden dengan tumpuan kepada deria tubuh melalui rangsangan getaran terarah.
Menurut pasukan penyelidik, konsep ini berfungsi untuk mengaktifkan reseptor mekanosensori pada kulit dan otot, lalu menghantar isyarat ke otak bagi menstabilkan tindak balas emosi.
Kajian dalaman awal yang dijalankan kumpulan KIK, The Mind Wizard 2025 menunjukkan penggunaan NeoMind selama lima hingga 10 minit dapat mengurangkan kadar degupan jantung dan menurunkan tahap kebimbangan ringan secara signifikan.
Pendekatan ini bukan sahaja berasaskan sains tetapi juga praktikal serta selamat untuk digunakan di sekolah. NeoMind mula diperkenalkan dalam beberapa program kesejahteraan pelajar UiTM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang baru sahaja memeterai Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UiTM pada Oktober lalu.
Pendekatan saintifik membuktikan penyembuhan emosi boleh dicapai melalui rangsangan tubuh yang semula jadi serta mudah dilaksanakan.-UTUSAN
DR. Raja Mayang Delima Mohd. Beta ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.
PROFESOR Madya Dr. Nur Nadia Dzulkifli ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.










