PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan, Harnizam Basri mengakui leka taktikal dan faktor fizikal menjadi antara punca kegagalan ratu trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri meneruskan saingan acara keirin wanita di Kejohanan Dunia, Chile, semalam.
Pelumba berusia 22 tahun itu menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang juara dunia dua kali dari Britain, Emma Finucane dan wakil Jepun, Haruka Nakazawa.
Keputusan itu memaksa Izzah ke pusingan repechage bagi memburu tiket ke suku akhir, namun dia gagal menempatkan diri dalam dua kedudukan teratas apabila sekadar menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Rusia, Alina Lysenko dan Liliya Tatarinoff.
Harnizam menjelaskan, Izzah sepatutnya lebih agresif pada pusingan pertama tetapi gagal membaca pergerakan juara dunia dua kali itu pada aksi pusingan pertama.
“Secara jujurnya, saya agak kecewa kerana Izzah sedikit terleka pada pusingan pertama dan membiarkan Finucane ke depan tanpa membuat sebarang tindakan balas atau mengikuti roda lawan.
“Dalam aksi repechage pula, prestasinya tidak mencapai tahap terbaik apabila beliau agak lambat melakukan pecutan pada dua selekoh terakhir. Perlumbaan yang berlangsung rapat antara dua pusingan juga menyebabkan badannya masih penat,” kata Harnizam Ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut beliau, kekalahan itu dijadikan pengajaran penting untuk memperkukuh semula prestasi pelumba muda berusia 22 tahun itu menjelang musim depan.
“Jadi saya ambil kekalahan ni untuk mempertingkatkan lagi prestasi dia untuk tahun depan dan perlumbaan seterusnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Harnizam turut mendedahkan berat badan Izzah kini menurun dengan ketara berbanding tahun lalu, sekali gus memberi kesan kepada kekuatan pecutannya.
“Sebaik pulang ke Malaysia, kita akan lihat balik pelan gim dengan pemakanan Izzah supaya dia kembali ke tahap yang optimum,” katanya. – UTUSAN










