Farhash saman Rafizi RM10 juta - Utusan Malaysia

Farhash saman Rafizi RM10 juta

FARHASH WAFA SALVADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli korporat, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli atas dakwaan memfitnahnya menerusi dua video yang dimuat naik di media sosial.

Saman berkenaan difailkan pada 10 Oktober lalu melalui Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co. selepas Mohd. Rafizi gagal mengemukakan permohonan maaf berhubung kenyataan dalam video yang didakwa berunsur fitnah itu.

Dalam tuntutannya, Farhash menuntut ganti rugi am berjumlah RM10 juta, selain ganti rugi teruk, teladan, punitif serta kos guaman.

Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang Mohd. Rafizi daripada terus menerbitkan atau menyebarkan kenya­taan seumpama itu pada masa hadapan.

Dua video yang menjadi asas tuntutan itu masing-masing bertajuk ‘Tangani isu Farhash, elak jadi beban lebih besar kepada kerajaan’ yang dimuat naik pada 25 Julai lalu dan ‘Bukan Ismail Sabri, Bukan KJ’ pada 20 Ogos.

Kawalan keselamatan

Video pertama dikatakan berkait dengan kenyataan Mohd. Rafizi yang mengaitkan Farhash dalam skandal lesen cari gali mineral di Sabah manakala video kedua pula menyentuh pertemuan Mohd. Rafizi dengan seorang pemberi maklumat sebelum kejadian serangan terhadap anaknya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, Ogos lalu.

Rafizi dalam video berkenaan mendakwa, serangan terhadap anaknya yang berusia 12 tahun itu mungkin mempunyai kaitan dengan pertemuan tersebut.

Namun, Farhash menafikan dakwaan itu dan menyifatkan­nya sebagai tuduhan tidak ma­suk akal.

Menurut pernyataan tuntutan, Farhash mendakwa kenya­taan Mohd. Rafizi membawa maksud seolah-olah beliau terlibat dalam salah laku, rasuah dan manipulasi politik serta digambarkan sebagai individu tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Farhash turut menegaskan kenyataan itu dibuat dengan niat jahat untuk mencemar reputasinya, selain menjejaskan kredibilitinya sebagai ahli perniagaan dan tokoh awam selepas video berkenaan ditonton dan dikongsi secara meluas di media sosial.

Dokumen mahkamah itu turut menegaskan bahawa semua dakwaan Mohd. Rafizi adalah palsu, tidak berasas dan bermotifkan dendam politik.

Farhash yang pernah berkhid­mat sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjadi ketua pembangkang berkata, reputasinya terjejas teruk akibat kenyataan berkenaan dan kini menuntut pertanggungjawaban Mohd. Rafizi di mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×