Sumbangan penderma tubuh kini membuka jalan baharu dalam kajian penyakit tulang belakang, khususnya berkaitan masalah degenerasi disk (slipped disc).
Melalui tubuh penderma, penyelidik dapat menjalankan kajian penting yang berpotensi membawa kepada rawatan baharu bagi pesakit sakit belakang kronik di seluruh dunia.
Penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, Dr. Isma Liza Mohd. Isa berjaya membangunkan satu protokol diseksi tulang belakang manusia bagi tujuan pengambilan tisu disk.
Protokol ini digunakan untuk penyelidikan penyakit degenerasi disk, yang merupakan antara punca utama sakit belakang kronik di peringkat global.
Katanya, pembangunan protokol itu memperkukuh usaha antarabangsa memahami mekanisme penyakit serta membantu pembangunan terapi baharu bagi rawatan sakit belakang.
Kajian ini dijalankan melalui projek berimpak tinggi yang dinamakan DISCPAIN, di bawah geran Health Research Board (HRB) Ireland bernilai €0.8 juta yang diterima pada tahun 2022.
“Melalui sumbangan penderma tubuh, kami kini dapat memperoleh disk sihat berkualiti tinggi sebagai spesimen kawalan usia (age-match healthy control) yang sebelum ini sukar didapati.
“Ini membuka ruang besar untuk analisis molekul bagi memahami mekanisme penyakit degenerasi disk dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Kerjasama antara University of Galway di Ireland, UKM dan Silent Mentor Program, Universiti Malaya (UM) membolehkan pengambilan tisu disk manusia sihat daripada kadaver dilakukan secara etika dan terkawal.
Kajian prospektif selama setahun ini melibatkan diseksi ke atas 13 kadaver tanpa proses pengawetan, dengan kebenaran penuh daripada keluarga penderma tubuh.
Protokol bertajuk Human Cadaveric Spine Dissection: A Protocol for Harvesting Lumbar Intervertebral Discs from Body Donors yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Annals of
Anatomy (Elsevier, 2025) menghuraikan secara terperinci kaedah diseksi tulang belakang melalui akses anterior serta langkah-langkah pengambilan dan pemprosesan tisu disk untuk analisis lanjut.
“Semua prosedur dijalankan mengikut garis panduan etika dan protokol pendermaan tubuh manusia,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Kehormat dan Felo Penyelidik di CÚRAM Research Centre for Medical Devices, Pharmacology and Therapeutics, University of Galway, Ireland.
Tambahnya, tisu disk kemudian diproses untuk analisis penjujukan RNA (RNA sequencing) bagi mengenal pasti ekspresi gen dan penanda molekul yang terlibat dalam proses degenerasi.
“Penemuan ini dijangka dapat membantu pembangunan terapi baharu dan sasaran rawatan bagi pesakit sakit belakang kronik.
“Ungkapan ‘yang mati mengajar yang hidup’ benar-benar menggambarkan nilai penyelidikan ini. Melalui tubuh penderma, ilmu anatomi dan sains perubatan dapat berkembang untuk manfaat pesakit di masa hadapan,” ujarnya.
Penyelidikan itu juga menandakan langkah penting memperkukuh kajian antarabangsa mengenai penyakit degenerasi disk yang merupakan penyebab sakit belakang serta membuka peluang kepada pembangunan terapi regeneratif yang lebih berkesan.










