KUALA LUMPUR: Malaysia menyifatkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Korea (MKFTA) sebagai tepat pada masanya untuk memperkukuh hubungan dagang sedia ada dan memacu kerjasama strategik baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi global masa hadapan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata, perjanjian itu bukan sahaja memperluas potensi perdagangan dua hala, malah membuka ruang kepada pelaburan baharu dalam bidang ekonomi hijau, digital dan bioekonomi.
“Kami melihat banyak peluang untuk memperdalam kerjasama dengan Korea dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi hijau, digital dan bioekonomi.
“Perjanjian ini juga diharap dapat memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti perniagaan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis menandatangani kenyataan bersama itu diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, melibatkan Zafrul dan Menteri Perdagangan, Kementerian Perdagangan, Industri dan Sumber Republik Korea, Yeo Han-koo.
Tengku Zafrul berkata, rundingan MKFTA yang dimuktamadkan itu menandakan komitmen Malaysia memperkukuh daya saing dan keterbukaan ekonomi dalam suasana global yang semakin mencabar, selain memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pelaburan dan perdagangan serantau.
MITI berkata, MKFTA merangkumi pelbagai bidang penting termasuk barangan, perkhidmatan, pelaburan, kemudahan kastam, sanitasi dan fitosanitasi, perdagangan digital, ekonomi hijau, bioekonomi serta kerjasama ekonomi.
Apabila berkuat kuasa kelak, perjanjian itu dijangka memberi akses bebas cukai jangka panjang kepada produk eksport strategik Malaysia seperti makanan dan pertanian, herba serta ekstrak, komoditi seperti sawit dan koko, produk kimia dan petrokimia, serta kayu tropika dan papan lapis.
Malaysia dan Korea turut memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Strategik dalam Rantaian Bekalan, yang menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam keselamatan ekonomi dan ketahanan rantaian bekalan.
Korea kekal sebagai antara 10 rakan dagang utama Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai AS$24.01 bilion (RM109.68 bilion) pada tahun lalu.
Eksport utama Malaysia ke Korea terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, gas asli cecair (LNG), petroleum, barangan logam serta peralatan optik dan saintifik.
Sejak tahun 1980, pelaburan kumulatif Korea di Malaysia mencecah RM61.9 bilion, yang mewujudkan lebih 83,000 peluang pekerjaan.










